Saturday 6 May 2017

BAJET ASAS Bagi Individu yang Baru Bekerja


Bincangkan bajet asas bagi individu yang baru bekerja.


[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.


Pengagihan belanjawan mengelakkan sikap boros

"Janganlah kita bersikap ibarat sudah terhantuk baru terngadah kerana tiada gunanya menyesal apabila kudis menjadi tokak, persis sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya"



     Dalam dunia yang semakin bergerak bagai belut diketil ekor ini, kehidupan manusia ibarat satu perlumbaan. Sebuah kesilapan dapat membawa kesan besar dalam kehidupan seseorang, lebih-lebih lagi anak watan yang merupakan bakal pemimpin negara, ibarat pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Anak watan yang tamat pengajiannya dan baru mula bekerja harus berfikir secara bijak dan rasional dalam mengagihkan bajet asas supaya tidak berbelanja berlebihan. Individu yang baru bekerja harus berpegang pada peribahasa ingat sebelum kena, jimat sebelum habis supaya tidak berhutang sekeliling pinggang dan diisytiharkan muflis di muka hari. Justeru, perancangan yang komprehensif dari segi perbelanjaan kewangan adalah mustahak bagi membina watan yang kemandirian. 


     Umum mengetahui bahawa kos rumah tinggi merupakan satu kekangan yang menjalar dalam benak fikiran individu. 40% daripada bajet harus ditumpukan kepada sewa rumah dan membayar bil-bil utiliti seperti elektrik, air, dan sistem televisyen berbayar. Hal ini demikian kerana kos rumah semakin melambung terutamanya di kawasan bandar dan rumah merupakan satu keperluan pada abad ini. Bil-bil juga harus dijelaskan supaya perkhidmatan tidak terputus dan individu tidak tertekan ekoran dikenakan denda yang tinggi. Elektrik, air dan sistem kumbahan dikatakan keperluan asas dalam dunia pekerjaan, justeru seseorang hendaklah memastikan bayarannya tidak tertangguh agar perbelanjaan lain tidak perlu digadaikan untuk membayar sebarang faedah atau denda tambahan. 


     Selain itu, 30% daripada bajet harus diperuntukkan untuk perbelanjaan peribadi seperti makanan, pakaian dan sebagainya. Makanan merupakan keperluan asas dan perlu diambil untuk membukakan tenaga seharian. Individu yang baru bekerja juga memerlukan pelbagai pakaian untuk situasi tertentu terutamanya yang mendirikan rumah tangga. Contohnya, pakaian bekerja, rumah, dan juga pakaian anak-anak. Wang peribadi ini juga digunakan untuk tujuan hiburan seperti menonton wayang dan Internet. Namun demikian, kita harus berbelanja secara berhemah dan mengikut keperluan agar tidak menyesal di muka hari, persis kata mutiara, ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut suka duka, dan ikut nafsu lesu. 


     Di samping itu, 20% daripada bajet digunakan untuk membayar hutang pinjaman pelajaran dan digunakan sebagai wang simpanan. Seseorang yang lazimnya melangkah kaki ke menara gading membuat pinjaman pelajaran melalui agensi seperti PTPTN, MARA dan JPA. Setelah mula bekerja, mereka perlu membayar balik hutang tersebut agar individu lain dapat menikmati pinjaman juga. Dalam pada itu, lebihan wang hendaklah disimpan di bank seperti Tabung Haji atau skim simpanan wang tetap untuk kegunaan masa depan. Wang simpanan ini boleh digunakan untuk percutian, pembiayaan kos pelajaran anak-anak atau untuk masa kecemasan. Pepatah Melayu pernah berbunyi, malang tidak berbau, justeru kita perlu sentiasa bersedia, persis sediakan payung sebelum hujan. 


     Jika ditelusuri secara mendalam, baki 10% dalam bajet asas diperuntukkan untuk kemudahan pengangkutan termasuk pinjaman kereta. Lepasan mahasiswa yang baru kerja sememangnya perlu berulang-alik dari rumah ke tempat kerja untuk bekerja. Sebahagian individu mengidam-idamkan kereta persendirian untuk meningkatkan mobiliti mereka. Sama ada menggunakan perkhidmatan awam seperti bas dan kereta api atau membayar ansuran kereta, individu tersebut harus memastikan perbelanjaan tersebut tidak melebihi 10% daripada bajetnya. Bagi melicinkan urusan pembelian kereta, individu boleh membeli kereta nasional seperti Proton atau Perodua yang menawarkan kereta bermutu tinggi pada harga berpatutan terutamanya kepada lepasan universiti universiti. Lebih-lebih lagi syarikat tersebut memberi pelbagai diskaun dan rebat. Sudah terang lagi bersuluh, 10% daripada bajet hendaklah diketepikan khas untuk pengangkutan. 


     Deduksinya, seseorang individu yang baru bekerja harus meluaskan horizon pemikirannya dan merancang perbelanjaannya sebelum nasi menjadi bubur. Dunia ini tidak selamat sekiranya kita berbelanja sesuka hati, apatah lagi pelbagai iklan menggiurkan yang menggoda kita untuk berbelanja. Janganlah kita bersikap ibarat sudah terhantuk baru terngadah kerana tiada gunanya menyesal apabila kudis menjadi tokak, persis sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Masyarakat juga dinasihatkan agar berbelanja secara waras, bak kata peribahasa, seperti ukur baju di badan sendiri, supaya tidak ketinggalan dalam arus modenisasi ini.

No comments:

Post a Comment

Adakah kualiti karanganpanas mantap? Perlukan contoh karangan? Nyatakan di sini!