Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang dapat kita lakukan untuk menjaga kebersihan kawasan persekitaran.
[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.
Keindahan alam sekeliling perlu dijaga sebaik-baiknya |
"Kebersihan kawasan bandar yang sebelum ini dipinggirkan persis rumput di tepi jalan harus diutamakan kerana persekitaran bandar mencerminkan persekitaran negara"
“Alam ini tidak diwarisi oleh generasi sebelum, tetapi dipinjam daripada generasi seterusnya”, memetik kata-kata nukilan Mahatma Gandhi jelas menunjukkan alam sekitar harus dipelihara daripada kerakusan manusia. Sesungguhnya, kebersihan alam harus dijaga supaya watan tidak menyesal di muka hari, lantaran sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Menjaga kebersihan kawasan persekitaran merupakan tanggungjawab bersama bagi melahirkan suasana kondusif dan selesa. Hakikatnya, masyarakat yang bertunjangkan materialistik dan mengejar duniawi semakin lupa akan persekitaran mereka. Keadiwaraan dunia bersulamkan keindahannya digadai demi kemajuan dan kini wajah bumi tercinta kita penuh dengan sampah sarap seolah-olah menjalani pembedahan plastik. Justeru, satu persoalan yang berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah usaha-usaha yang dapat kita lakukan untuk menjaga kebersihan persekitaran?
Sebagai mukadimah perbincangan, satu langkah afdal adalah dengan
membersihkan kawasan rumah. Institusi keluarga merupakan batu-bata masyarakat,
justeru amalan ini perlu diterapkan ke dalam sanubari anak-anak sejak kecil
lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa sebagai penentu
segalanya haruslah mengadakan gotong-royong mingguan bersama ahli keluarga.
Dengan meluangkan hanya 20 minit pada hari minggu, persekitaran rumah dapat
dibersihkan dengan baik apabila dilakukan bersama, persis berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing. Aktiviti membersihkan kipas, menyapu dedaun kering dan
membersih longkang menjamin rumah yang selamat. Selain itu, longkang perlu
diteliti supaya tidak tersumbat dan menakung air bagi mengelakkan wabak denggi
daripada menular, lantaran mencegah lebih baik daripada mengubati. Ahli
keluarga seyogianya mengeluarkan barang yang tidak diperlukan supaya tidak
menyimpan sampah. Tegasnya, institusi keluarga harus bekerjasama bagai aur
dengan tebing dengan membersihkan kawasan rumah secara bersama.
Rentetan itu, kerajaan sebagai jentera pembangun negara harus menguatkuasakan undang-undang. Hal ini demikian kerana terdapat manusia tidak bertanggungjawab yang membuang sampah merata-rata. Apabila mereka didenda, barulah mereka mengubahkan sikap, bak kata peribahasa, sudah terhantuk baru terngadah. Kerajaan melalui Jabatan Alam Sekitar perlu menjatuhkan hukuman berat dan denda yang tinggi kepada masyarakat tidak prihatin ini. Penggunaan teknologi moden seperti kamera litar tertutup (CCTV) serta rondaan pihak berkuasa yang kerap menjamin kebersihan persekitaran. Malah, premis-premis yang kotor harus disita supaya tidak menjadi sarang penyakit. Sesungguhnya, warganegara hendaklah mematuhi peraturan yang ditetapkan kerana di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sudah terang lagi bersuluh bahawa penguat kuasaan undang-undang membantu mengekalkan kebersihan alam.
Lantaran itu, usaha pembersihan kawasan bandar harus dipergiat dengan menganjurkan kempen-kempen membersihkan alam. Warga kota yang sememangnya mengejar dunia baru bagai belut diketil ekor tidak menghiraukan persekitaran mereka, sehingga menutup sebelah mata terhadap sampah. Majlis Perbandaran hendaklah menganjurkan gotong-royong perdana bersama masyarakat tempatan untuk membersihkan jalan raya, koridor dan kawasan bandar. Sampah sarap, makanan basi dan tin-tin kosong perlu dibuang manakala lantai perlu disapu supaya persekitaran selesa. Selain itu, permuafakatan manusia dapat mengelakkan usaha murni ini daripada menemui kegagalan, persis bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Intihanya, kebersihan kawasan bandar yang sebelum ini dipinggirkan bagai rumput di tepi jalan harus diutamakan kerana persekitaran bandar mencerminkan persekitaran negara.
Sebagai penggulung segala yang dibincangkan, kebersihan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama. Kita harus mengutamakan kebersihan kerana persekitaran kotor mengundang seribu satu kemelut yang boleh menghantui pembangunan negara. Sesungguhnya, ibu bapa memikul obligasi yang penting dalam membina budaya mengutamakan kebersihan diri anak-anak kerana merekalah yang bakal mewarisi dunia ini. Namun demikian, semua pihak haruslah memainkan peranan mereka dalam menangani masalah kekotoran persekitaran. Hasilnya, satu persekitaran madani yang melorongkan kita ke mercu kejayaan dapat dicipta. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah masyarakat Malaysia terus hidup aman damai dalam persekitaran yang bersih.
ayat gramatis
ReplyDeleteTerima kasih
Deletehg buat rilek ja
ReplyDeletePanjang jugak laa ayat niyhh😂😂 bagus ii
DeletePeh ayat mcm budak ipta
ReplyDeletebakpe dokleh copy ni. ambe nok pekse doh ni
ReplyDeleteKarangan tajuk media sosial tkde ke
ReplyDeleteSumpah ayat dyeeeee ",
ReplyDeleteI love it
ReplyDeleteGrr
ReplyDeleteMakasheee
ReplyDeleteMantap
ReplyDelete