Sunday, 23 April 2017

Langkah-Langkah Memajukan SEKTOR PELANCONGAN

Sektor pelancongan berkait rapat dengan ekonomi sebuah negara. Bincangkan langkah-langkah untuk memajukan sektor pelancongan. 

[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.
 
"Jauh perjalanan, luas pemandangan"
"Pusat peranginan tersebut menawarkan keheningan panorama yang sudah tentu mencuit hati dan menggamit kenangan manis sehingga ke kalbu pengunjung"


     Dalam milenium ini, tatkala nusa tercinta kita rancak menari mengikut rentak arus modenisasi, rakyat semakin alpa akan ekonomi negara. Bagi sebuah negara yang pesat membangun, ekonomi negara amat penting. Kilang-kilang yang dibuka seperti cendawan tumbuh selepas hujan akan terpaksa ditutup akibat ekonomi yang tidak stabil. Lebih-lebih lagi jika sebuah negara menghadapi inflasi. Sektor pelancongan dapat menyumbangkan hasil dan pulangan yang banyak, sekaligus dapat menstabilkan ekonomi negara dan membuka ruang dan peluang untuk negara terus membangun. Justeru, satu soalan ingin saya lontarkan, apakah anjakan paradigma yang perlu digarap dan dicanang bagi memajukan sektor pelancongan?

     Sedar atau tidak, lantaran ketaksuban dihidangkan dengan ledakan sains dan teknologi dalam duniawi ini, anak watan mendepani kepincangan kerana merekalah para pendukung aspirasi negara setelah menjadi pemimpin kelak. Sekiranya ekonomi semakin merudum sekarang, apatah lagi ketika watan sebagai sahmura negara mengambil alih pentadbiran? Oleh itu,sektor pelancongan perlu dimajukan bagi mengukuhkan lagi sebuah negara. Salah satu langkah yang ampuh ialah kerajaan perlulah kerap menganjurkan program seperti Tahun Melawat Malaysia. Program seumpama ini perlulah menjadi agenda perdana kerana dapat menarik serta menggalakkan para pelancong untuk melawat tanah air kita. Program sebegini perlu diuar-uarkan ke serata pelosok dunia sebagai langkah mempromosikan negara kita. Selain itu, kerajaan haruslah menawarkan pakej-pakej tarikan seperti pelancongan di beberapa negeri dengan harga yang rendah dan berpatutan. Contohnya, melalui MATTA Fair. Melalui cari ini, para pelancong akan merebut-rebut mendapatkan peluang melancong di negara kita.

     Ekoran dari itu, salah satu perencah utama Malaysia menarik para pengunjung adalah disebabkan oleh etika rakyat yang berbudi bahasa. Bagi memajukan lagi sektor pelancongan, budi bahasa rakyat haruslah ditingkatkan. Pada asasnya, para pelancong tertarik dengan cara hidup bersatu padu, persis kata mutiara bagai air dengan tebing, yang tersemai dalam sanubari rakyat. Penerapan nilai-nilai murni yang berkiblatkan akidah wajar dipupuk sejak anak-anak merah tapak kaki lagi. Hal ini demikian kerana generasi muda yang akan mewarisi negara kita. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Oleh itu, kita perlu mengutamakan budi bahasa serta etika bersopan-santun untuk menarik lagi pelancong ke Malaysia. Sebagai tamsilan, bercakap dengan nada yang lembut, menguntum senyuman manis serta berbudi bicara dengan kata-kata yang tidak menyakiti hati bagai ditusuk sembilu merupakan senjata untuk memperkukuhkan sektor pelancongan. Izharlah bahawa budi bahasa itu mustahak, bak kata serangkap pantun,

Yang merah itu saga, 
Yang kurik itu kendi;
Yang indah itu bahasa, 
Yang cantik itu budi.

     Jika ditelusuri secara mendalam, Malaysia kaya dengan tempat-tempat menarik yang menjadi destinasi pengunjung. Tempat-tempat ini dapat menjana faktor pengganda dalam sektor pelancongan. Pelbagai usaha afdal haruslah diambil untuk membaik pulih serta menaik taraf tempat tarikan seperti membina lebih banyak hotel dan meningkatkan kapasiti sesuatu tempat. Destinasi seperti Tanah Tinggi Genting dan Tanah Tinggi Cameron sudah mempunyai suhu yang sejuk secara semula jadi. Oleh itu langkah-langkah harus diambil untuk mengekalkannya dan menggalakkan pada pengunjung mengunjung destinasi tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana pusat peranginan tersebut menawarkan keheningan panorama yang sudah tentu mencuit hati dan menggamit kenangan manis sehingga ke kalbu pengunjung.

     Sementelahan itu, kempen-kempen harus diadakan untuk merancakkan lagi sektor pelancongan. Hal ini demikian kerana kempen yang menghebah-hebahkan kekayaan negara kita seperti keadiwaraan hutan yang kaya dengan flora dan fauna, sejarah pembentukan negara yang unik dan sebagainya nescaya merupakan daya tarikan yang efektif. Kempen-kempen juga dapat memberikan pendedahan kepada rakyat tentang tarikan istimewa negara kita. Sebagai langkah untuk memastikan kempen ini mendapat sambutan hangat, pihak media massa bercetak mahupun elektronik perlu bersendel bahu. Misalnya, iklan-iklan perlu disebar melalui siaran televisyen saban hari ataupun terpampang pada dada akhbar perdana. Natijahnya, orang ramai dapat mengubah perspektif mereka dan mula melancong dalam negara. Secara implisitnya, ekspatriat yang melancong ke negara kita akan memberitahu kenalan dan ahli keluarga mereka tentang betapa kaya dan uniknya Malaysia melalui rangkaian maya seperti Facebook dan Twitter. Ringkasnya, kempen-kempen merupakan wadah yang paling berkesan.

     Secara wacana, kita hendaklah mengorak langkah yang afdal lagi bersepadu untuk melonjakkan sektor pelancongan sebelum kudis menjadi tokak. Semua pihak haruslah bersinergi dan berusaha bagai air mencari jenisnya dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Negara Malaysia sememangnya merupakan syurga bagi mereka yang hendak melarikan diri daripada kehidupan yang semakin rencam ini.  Oleh itu, kita wajar menyusun langkah untuk memastikan sektor pelancongan terus berkembang. Langkah-langkah hendaklah dikecapi mulai sekarang, kerana perjalanan seribu batu ini hanya bermula dengan langkah yang pertama.

No comments:

Post a Comment

Adakah kualiti karanganpanas mantap? Perlukan contoh karangan? Nyatakan di sini!