Sunday 23 April 2017

Kesan-Kesan PEPERANGAN Kepada Sesebuah Negara

Peperangan memberikan kesan kepada sesebuah negara dan rakyatnya. Bincangkan.


[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.


Peperangan menyebabkan nyawa melayang

"Pemandangan orang berlumuran darah, dentuman bom serta das tembakan merupakan fenomena yang tidak asing lagi dalam kehidupan mereka"

     Fenomena peperangan bukan sesuatu yang baru malah peperangan telah diadakan sejak dahulu lagi. Peperangan lazimnya berlaku antara negara untuk mengekalkan kedaulatan negara tersebut dan mengelakkan dijajah oleh negara superior. Walakin, peperangan memberi seribu satu keburukan, sederap dengan peribahasa, gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah. Justeru, peperangan hendaklah dielakkan dengan mencari jalan keluar yang lebih lembut seperti rundingan secara alternatif. Misalnya, penubuhan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), merupakan gagasan harmoni untuk menyelesaikan pertikaian. Namun demikian, apakah kesan-kesan peperangan terhadap sebuah negara dan rakyatnya? Tepuk dada, tanya selera!




     Sebagai mukadimah perbincangan, peperangan mengakibatkan kehilangan nyawa. Ramai penjurit-penjurit negara seperti askar dan sebagainya terkorban demi mempertahankan maruah negara. Rakyat yang turut berjuang bermati-matian sehingga ke titisan darah terakhir, turut hilang nyawa mereka kepada tanah air tercinta. Selain itu, kekangan kekurangan ubat-ubatan serta perkhidmatan perubatan merumitkan keadaan. Penggunaan senjata serta bom dapat mencederakan rakyat, dan jika tiada ubat untuk merawatinya, nescaya kadar kematian rakyat akan meningkat. Sementara itu, krisis sedemikian menyebabkan penyakit seperti taun mudah merebak. Hari ini menyebabkan kehidupan rakyat ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Tegasnya, peperangan menyebabkan rakyat menderita apabila kesihatan mereka terjejas.



     Sebagai lontaran idea kedua, peperangan menyebabkan keruntuhan organisasi sosial. Harta benda serta pengangkutan awam musnah, jalan raya tidak selamat dan sebagainya menghancurkan peranan kuasa pusat. Tanggungjawab kerajaan sebagai penawar mujarab tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna, lantas pembangunan negara terbantut. Ekonomi negara juga menurun kerana para pelabur akan berasa tidak selamat melabur di negara kita serta bilangan pelancong akan menurun. Pengisytiharaan darurat oleh sesebuah negara pula akan menggelapkan masa depan negara tersebut kerana kerajaan terpaksa membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk membaik pulih keadaan. Infrastruktur seperti jaringan pengangkutan dan perhubungan, kemudahan pendidikan, dasar governan dan sebagainya perlu dibina semula ekoran pengeboman oleh musuh. Intihanya, peperangan melemahkan sesebuah negara dan kemajuan negara akan lenyap lalu negara tersebut menjadi mundur. 


     Meninjau dari dimensi yang berlainan, rakyat sebuah negara yang aktif dengan peperangan berdepan dengan pelbagai trauma. Misalnya, pemandangan orang berlumuran darah, dentuman bom serta das tembakan merupakan fenomena yang tidak asing lagi dalam kehidupan mereka. Keselamatan iaitu sebuah hak individu tidak lagi wujud malah sebaliknya diganti dengan huru-hara di negara. Rakyat sukar mencari nafkah, lantaran takut dibunuh apabila keluar. Apatah daya seseorang ketua keluarga menyara anak-anaknya? Kehidupan seharian mereka nescaya seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hal ini menyebabkan fikirkan mereka melayang, kecelaruan emosi dan sebagainya mudah berlaku. Rakyat juga sentiasa menjadi buruan pengganas akan berasa tertekan dan mengambil jalan drastik iaitu membunuh diri. Ringkasnya, peperangan merupakan satu trauma yang terngiang-ngiang di minda rakyat.

     Jika ditelusuri secara mendalam, peperangan memberi impak yang signifikan terhadap alam sekitar. Hutan simpan, kekayaan biodiversiti dan sebagainya musnah dalam sekelip mata apabila dibom. Pengganas sudah tentu meletupkan bangunan seperti tragedi 11 September 2001, iaitu pengganas merampas beberapa pesawat lalu menghentam Pusat Perdagangan Sedunia di Amerika Syarikat. Hal ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa, malah jerebu dan kemusnahan alam sekitar berleluasa. Pengguguran bom atom di Hiroshima dan Nagasaki oleh pihak British pula mengancam flora dan fauna di situ. Kesannya, perubahan landskap, tanah menjadi gondol dan sisa radioaktif  mengancam kehidupan. Tidak kurang juga hidupan akuatik yang berdepan dengan sisa toksik. Kita harus sedar dengan kata-kata Mahatma Gandhi iaitu “alam ini bukan diwarisi dari nenek moyang kita, tetapi dipinjam dari generasi seterusnya”.

     Akhirulkalam, bulan yang terang, bayang kian jelas dan sudah terang lagi bersuluh bahawa peperangan memberi seribu satu kebobrokkan kepada negara dan rakyatnya. Justeru, semua pihak harus bersatu tenaga, berganding bahu dan gancang menggarap formula bagi mengelakkan krisis peperangan daripada berlaku. Kita sebagai manusia alaf 21 harus menggunakan otak kita untuk menyelesaikan masalah dan bukan secara kekerasan untuk mengelakkan peperangan. Bertitik tolak daripada itu, usaha secara bersama amat penting bagi melunaskan visi kudsi ini, bak kata serangkap pantun;


Pergi ke pasar membeli kerang,
Kerang dibeli  di kedai Andah;
Bersama kita mengelakkan perang,
Bersatu teguh bercerai roboh.

Langkah-Langkah Memajukan SEKTOR PELANCONGAN

Sektor pelancongan berkait rapat dengan ekonomi sebuah negara. Bincangkan langkah-langkah untuk memajukan sektor pelancongan. 

[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.
 
"Jauh perjalanan, luas pemandangan"
"Pusat peranginan tersebut menawarkan keheningan panorama yang sudah tentu mencuit hati dan menggamit kenangan manis sehingga ke kalbu pengunjung"


     Dalam milenium ini, tatkala nusa tercinta kita rancak menari mengikut rentak arus modenisasi, rakyat semakin alpa akan ekonomi negara. Bagi sebuah negara yang pesat membangun, ekonomi negara amat penting. Kilang-kilang yang dibuka seperti cendawan tumbuh selepas hujan akan terpaksa ditutup akibat ekonomi yang tidak stabil. Lebih-lebih lagi jika sebuah negara menghadapi inflasi. Sektor pelancongan dapat menyumbangkan hasil dan pulangan yang banyak, sekaligus dapat menstabilkan ekonomi negara dan membuka ruang dan peluang untuk negara terus membangun. Justeru, satu soalan ingin saya lontarkan, apakah anjakan paradigma yang perlu digarap dan dicanang bagi memajukan sektor pelancongan?

     Sedar atau tidak, lantaran ketaksuban dihidangkan dengan ledakan sains dan teknologi dalam duniawi ini, anak watan mendepani kepincangan kerana merekalah para pendukung aspirasi negara setelah menjadi pemimpin kelak. Sekiranya ekonomi semakin merudum sekarang, apatah lagi ketika watan sebagai sahmura negara mengambil alih pentadbiran? Oleh itu,sektor pelancongan perlu dimajukan bagi mengukuhkan lagi sebuah negara. Salah satu langkah yang ampuh ialah kerajaan perlulah kerap menganjurkan program seperti Tahun Melawat Malaysia. Program seumpama ini perlulah menjadi agenda perdana kerana dapat menarik serta menggalakkan para pelancong untuk melawat tanah air kita. Program sebegini perlu diuar-uarkan ke serata pelosok dunia sebagai langkah mempromosikan negara kita. Selain itu, kerajaan haruslah menawarkan pakej-pakej tarikan seperti pelancongan di beberapa negeri dengan harga yang rendah dan berpatutan. Contohnya, melalui MATTA Fair. Melalui cari ini, para pelancong akan merebut-rebut mendapatkan peluang melancong di negara kita.

     Ekoran dari itu, salah satu perencah utama Malaysia menarik para pengunjung adalah disebabkan oleh etika rakyat yang berbudi bahasa. Bagi memajukan lagi sektor pelancongan, budi bahasa rakyat haruslah ditingkatkan. Pada asasnya, para pelancong tertarik dengan cara hidup bersatu padu, persis kata mutiara bagai air dengan tebing, yang tersemai dalam sanubari rakyat. Penerapan nilai-nilai murni yang berkiblatkan akidah wajar dipupuk sejak anak-anak merah tapak kaki lagi. Hal ini demikian kerana generasi muda yang akan mewarisi negara kita. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Oleh itu, kita perlu mengutamakan budi bahasa serta etika bersopan-santun untuk menarik lagi pelancong ke Malaysia. Sebagai tamsilan, bercakap dengan nada yang lembut, menguntum senyuman manis serta berbudi bicara dengan kata-kata yang tidak menyakiti hati bagai ditusuk sembilu merupakan senjata untuk memperkukuhkan sektor pelancongan. Izharlah bahawa budi bahasa itu mustahak, bak kata serangkap pantun,

Yang merah itu saga, 
Yang kurik itu kendi;
Yang indah itu bahasa, 
Yang cantik itu budi.

     Jika ditelusuri secara mendalam, Malaysia kaya dengan tempat-tempat menarik yang menjadi destinasi pengunjung. Tempat-tempat ini dapat menjana faktor pengganda dalam sektor pelancongan. Pelbagai usaha afdal haruslah diambil untuk membaik pulih serta menaik taraf tempat tarikan seperti membina lebih banyak hotel dan meningkatkan kapasiti sesuatu tempat. Destinasi seperti Tanah Tinggi Genting dan Tanah Tinggi Cameron sudah mempunyai suhu yang sejuk secara semula jadi. Oleh itu langkah-langkah harus diambil untuk mengekalkannya dan menggalakkan pada pengunjung mengunjung destinasi tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana pusat peranginan tersebut menawarkan keheningan panorama yang sudah tentu mencuit hati dan menggamit kenangan manis sehingga ke kalbu pengunjung.

     Sementelahan itu, kempen-kempen harus diadakan untuk merancakkan lagi sektor pelancongan. Hal ini demikian kerana kempen yang menghebah-hebahkan kekayaan negara kita seperti keadiwaraan hutan yang kaya dengan flora dan fauna, sejarah pembentukan negara yang unik dan sebagainya nescaya merupakan daya tarikan yang efektif. Kempen-kempen juga dapat memberikan pendedahan kepada rakyat tentang tarikan istimewa negara kita. Sebagai langkah untuk memastikan kempen ini mendapat sambutan hangat, pihak media massa bercetak mahupun elektronik perlu bersendel bahu. Misalnya, iklan-iklan perlu disebar melalui siaran televisyen saban hari ataupun terpampang pada dada akhbar perdana. Natijahnya, orang ramai dapat mengubah perspektif mereka dan mula melancong dalam negara. Secara implisitnya, ekspatriat yang melancong ke negara kita akan memberitahu kenalan dan ahli keluarga mereka tentang betapa kaya dan uniknya Malaysia melalui rangkaian maya seperti Facebook dan Twitter. Ringkasnya, kempen-kempen merupakan wadah yang paling berkesan.

     Secara wacana, kita hendaklah mengorak langkah yang afdal lagi bersepadu untuk melonjakkan sektor pelancongan sebelum kudis menjadi tokak. Semua pihak haruslah bersinergi dan berusaha bagai air mencari jenisnya dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Negara Malaysia sememangnya merupakan syurga bagi mereka yang hendak melarikan diri daripada kehidupan yang semakin rencam ini.  Oleh itu, kita wajar menyusun langkah untuk memastikan sektor pelancongan terus berkembang. Langkah-langkah hendaklah dikecapi mulai sekarang, kerana perjalanan seribu batu ini hanya bermula dengan langkah yang pertama.

Saturday 22 April 2017

Usaha-Usaha Menjaga KEBERSIHAN KAWASAN PERSEKITARAN

Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang dapat kita lakukan untuk menjaga kebersihan kawasan persekitaran.


[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.


Keindahan alam sekeliling perlu dijaga sebaik-baiknya
"Kebersihan kawasan bandar yang sebelum ini dipinggirkan persis rumput di tepi jalan harus diutamakan kerana persekitaran bandar mencerminkan persekitaran negara"

     “Alam ini tidak diwarisi oleh generasi sebelum, tetapi dipinjam daripada generasi seterusnya”, memetik kata-kata nukilan Mahatma Gandhi jelas menunjukkan alam sekitar harus dipelihara daripada kerakusan manusia. Sesungguhnya, kebersihan alam harus dijaga supaya watan tidak menyesal di muka hari, lantaran sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Menjaga kebersihan kawasan persekitaran merupakan tanggungjawab bersama bagi melahirkan suasana kondusif dan selesa. Hakikatnya, masyarakat yang bertunjangkan materialistik dan mengejar duniawi semakin lupa akan persekitaran mereka. Keadiwaraan dunia bersulamkan keindahannya digadai demi kemajuan dan kini wajah bumi tercinta kita penuh dengan sampah sarap seolah-olah menjalani pembedahan plastik. Justeru, satu persoalan yang berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah usaha-usaha yang dapat kita lakukan untuk menjaga kebersihan persekitaran? 


     Sebagai mukadimah perbincangan, satu langkah afdal adalah dengan membersihkan kawasan rumah. Institusi keluarga merupakan batu-bata masyarakat, justeru amalan ini perlu diterapkan ke dalam sanubari anak-anak sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa sebagai penentu segalanya haruslah mengadakan gotong-royong mingguan bersama ahli keluarga. Dengan meluangkan hanya 20 minit pada hari minggu, persekitaran rumah dapat dibersihkan dengan baik apabila dilakukan bersama, persis berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Aktiviti membersihkan kipas, menyapu dedaun kering dan membersih longkang menjamin rumah yang selamat. Selain itu, longkang perlu diteliti supaya tidak tersumbat dan menakung air bagi mengelakkan wabak denggi daripada menular, lantaran mencegah lebih baik daripada mengubati. Ahli keluarga seyogianya mengeluarkan barang yang tidak diperlukan supaya tidak menyimpan sampah. Tegasnya, institusi keluarga harus bekerjasama bagai aur dengan tebing dengan membersihkan kawasan rumah secara bersama.



     Rentetan itu, kerajaan sebagai jentera pembangun negara harus menguatkuasakan undang-undang. Hal ini demikian kerana terdapat manusia tidak bertanggungjawab yang membuang sampah merata-rata. Apabila mereka didenda, barulah mereka mengubahkan sikap, bak kata peribahasa, sudah terhantuk baru terngadah. Kerajaan melalui Jabatan Alam Sekitar perlu menjatuhkan hukuman berat dan denda yang tinggi kepada masyarakat tidak prihatin ini. Penggunaan teknologi moden seperti kamera litar tertutup (CCTV) serta rondaan pihak berkuasa yang kerap menjamin kebersihan persekitaran. Malah, premis-premis yang kotor harus disita supaya tidak menjadi sarang penyakit. Sesungguhnya, warganegara hendaklah mematuhi peraturan yang ditetapkan kerana di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sudah terang lagi bersuluh bahawa penguat kuasaan undang-undang membantu mengekalkan kebersihan alam. 

     Lantaran itu, usaha pembersihan kawasan bandar harus dipergiat dengan menganjurkan kempen-kempen membersihkan alam. Warga kota yang sememangnya mengejar dunia baru bagai belut diketil ekor tidak menghiraukan persekitaran mereka, sehingga menutup sebelah mata terhadap sampah. Majlis Perbandaran hendaklah menganjurkan gotong-royong perdana bersama masyarakat tempatan untuk membersihkan jalan raya, koridor dan kawasan bandar. Sampah sarap, makanan basi dan tin-tin kosong perlu dibuang manakala lantai perlu disapu supaya persekitaran selesa. Selain itu, permuafakatan manusia dapat mengelakkan usaha murni ini daripada menemui kegagalan, persis bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Intihanya, kebersihan kawasan bandar yang sebelum ini dipinggirkan bagai rumput di tepi jalan harus diutamakan kerana persekitaran bandar mencerminkan persekitaran negara. 




     Sebagai penggulung segala yang dibincangkan, kebersihan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama. Kita harus mengutamakan kebersihan kerana persekitaran kotor mengundang seribu satu kemelut  yang boleh menghantui pembangunan negara. Sesungguhnya, ibu bapa memikul obligasi yang penting dalam membina budaya mengutamakan kebersihan diri anak-anak kerana merekalah yang bakal mewarisi dunia ini. Namun demikian, semua pihak haruslah memainkan peranan mereka dalam menangani masalah kekotoran persekitaran. Hasilnya, satu persekitaran madani yang melorongkan kita ke mercu kejayaan dapat dicipta. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah masyarakat Malaysia terus hidup aman damai dalam persekitaran yang bersih. 

Friday 21 April 2017

Faedah-Faedah Menyertai Aktiviti BADAN BERUNIFORM

Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah yang diperoleh apabila kita menyertai aktiviti badan beruniform.


[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.


Pengakap merupakan satu jenis badan beruniform
"Kita harus sedar bahawa malang tidak berbau dan kita perlu sediakan payung sebelum hujan supaya tidak terpinga-pinga pada saat-saat kecemasan"

     “Berikan aku 100 orang tua, aku hanya mampu menggoncang sebuah perahu. Berikan aku 10 orang pemuda, aku pasti menggoncangkan dunia”, memetik kata-kata  nukilan mantan presiden Indonesia, Soekarno, jelas membuktikan satu mesej eksplisit yakni pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Menyedari hakikat tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia ialah mewajibkan kokurikulum diadakan di setiap buah sekolah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu membentuk murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah. Badan beruniform merupakan satu unit dalam aktiviti kokurikulum yang dirancang khas untuk membentuk disiplin dan sahsiah diri murid. Sayang, seribu kali sayang, remaja pada era ini lebih cenderung membazirkan masa mereka dengan melepak di pusat beli-belah dan aktiviti tidak berfaedah lain. Badan beruniform dapat digunakan untuk mengisi masa lapang, lantaran masa itu emas. Persoalannya, apakah faedah-faedah menyertai badan beruniform?

     Pada asasnya, badan beruniform dapat membentuk semangat kerjasama yang kental dalam jiwa anak watan. Badan beruniform mendorong ahlinya bekerja sebagai satu unit pasukan yang memerlukan komitmen dari setiap ahli. Misalnya, melalui aktiviti kawad, ahli-ahli perlu bekerjasama dalam menyusun langkah dan mendengar arahan komandan supaya mempunyai rentak yang sama serta seragam. Seterusnya, sekiranya ahli menyertai ekspedisi, mereka perlu menggembleng tenaga dan mencurahkan keringat daripada tulang empat kerat untuk mendirikan khemah secara bersama, lantaran berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Terdapat juga aktiviti berpasukan yang memerlukan ahli berkompromi dalam melakukannya. Tamsilannya, aktiviti peperangan kecil melibatkan beberapa orang memainkan peranan mereka dan bersatu supaya tidak diceroboh oleh musuh, persis kata mutiara, bersatu teguh, bercerai roboh. Secara implisitnya, melalui badan beruniform,  murid-murid akan mengikis sikap mementingkan diri sendiri, bak kata peribahasa, seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Tegasnya, semangat kerjasama bagai aur dengan tebing dapat dibentuk melalui aktiviti badan beruniform agar masyarakat bersatu serta hidup aman, damai, dan permai.

     Rentetan itu, aktiviti badan beruniform boleh menyemai ketahanan mental dan fizikal dalam diri anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti lasak seperti ‘flying fox’ dan sebagainya memerlukan elemen keberanian dalam silibusnya. Seseorang yang penakut nescaya tidak dapat melakukannya malah sentiasa tidak berani mencuba aktiviti yang baru. Aktiviti badan beruniform seperti mendaki gunung yang acap kali dianjurkan oleh unit pengakap bertujuan untuk melahirkan dan membentuk keyakinan diri. Seseorang yang mengikuti aktiviti tersebut tidak mudah berputus asa kerana memiliki mental yang kuat, persis di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Aktiviti meneroka hutan, berlumba bot dan sebagainya menguatkan otot-otot kita sehingga mudah melakukannya, lantaran alah bisa, tegal biasa. Badan yang sihat diperoleh, dan kesihatan diri terjamin, seterusnya keyakinan diri dalam kehidupan dapat ditingkatkan melalui badan beruniform. Deduksinya, seseorang yang mengikuti aktiviti badan beruniform akan dihias dengan ketahanan mental dan fizikal serta mampu menongkah segala cabaran pada era ini.

     Sementelahan itu, pengetahuan asas bantuan kecemasan dapat dipelajari melalui latihan pertolongan cemas. Kebanyakan badan beruniform mempunyai cara tertentu untuk bertindak dalam situasi kecemasan dan mendidik ahlinya tentang gerak-geri yang wajar diambil. Misalnya, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) telah mempelopori kemahiran ini dengan mendedahkan ahlinya kepada rawatan kecemasan. Kita dapat menguasai cara membalut, merawat tulang patah dan sebagainya melalui modul yang disusun. Selain itu, resusitasi kardiopulmonari iaitu CPR yang dipelajari boleh digunakan sekiranya rakan- rakan mahupun orang awam pengsan secara tiba-tiba. Secara holistiknya, seseorang itu lebih selamat mengikuti pelbagai aktiviti seperti meredah hutan, mendaki dan sebagainya kerana memiliki ilmu pengetahuan merawat diri, bukan seperti tikus membaiki labu. Bantuan kecemasan ini penting kerana tanpa bantuan ini, pesakit yang tinggal nyawa-nyawa ikan boleh menghadapi komplikasi yang lain atau menemui ajal. Kita harus sedar bahawa malang tidak berbau dan kita perlu sediakan payung sebelum hujan supaya tidak terpinga-pinga pada saat-saat kecemasan. Tuntasnya, aktiviti badan beruniform mendedahkan kita kepada pengetahuan asas bantuan kecemasan agar dapat membantu mangsa secara efektif dan pantas.



     Sebagai penggulung segala yang dibincangkan, aktiviti badan beruniform mempunyai seribu satu kemaslahatan yang harus dieksploitasi oleh murid-murid. Sesungguhnya, generasi kini yang merasakan bahawa badan beruniform hanya membuang masa dan tidak menguasai kemahiran tersebut. Badan beruniform merupakan satu formula khas yang disusun bagi mengurangkan masalah gejala sosial dan pengaruh negatif, di samping mencambahkan minda anak watan. Justeru, wadah efektif ini tidak harus dipandang enteng, sebaliknya digunakan secara maksimum untuk melahirkan generasi berketerampilan tinggi, sihat dan mempunyai jati diri yang unggul. Semua pihak harus berganding bahu dalam menjayakan matlamat murni ini agar masyarakat madani dapat dicapai menjelang tahun 2020. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah masyarakat memperoleh faedah daripada aktiviti badan beruniform. 

Wednesday 19 April 2017

Faedah-faedah mempelajari SENI MEMPERTAHANKAN DIRI

Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah mempelajari seni mempertahankan diri.


[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.


Seni mempertahankan diri memberikan seribu satu kemaslahatan
"Seni mempertahankan diri merupakan satu anugerah mustahak daripada nenek moyang kita yang wajar diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat"

     Mutakhir ini, kadar jenayah di negara kita kian meningkat sehingga mencapai tahap yang membimbangkan. Saban hari kita dihidangkan dengan berita mengenai kes ragut, rompak dan sebagainya melalui dada makalah, corong-corong radio mahupun kaca skrin televisyen. Kemelut ini lazimnya berlaku di bandar-bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur lantaran masyarakatnya berpendapatan tinggi. Dalam pada itu, seni mempertahankan diri  dilihat sebagai satu wadah untuk pertahankan diri dan disyorkan oleh pihak polis mahupun kerajaan. Sebenarnya, seni mempertahankan diri mempunyai pelbagai faedah. Di negara kita, terdapat seni mempertahankan diri seperti Wushu, Taekwondo, Karate dan Silambam. Persoalannya, apakah faedah-faedah mempelajari seni pertahanan diri?

     Pada asasnya, seni mempertahankan diri adalah untuk mempertahankan diri  semasa berlaku pergaduhan atau kecemasan. Misalnya, pada ketika ini kes meragut dan menculik kian meningkat sehingga menghantui semua pihak. Para penculik menyasarkan golongan kanak-kanak dan remaja untuk mendapatkan wang tebusan atau menjual mereka kepada ejen pemerdagangan manusia. Melalui seni pertahanan diri, seseorang itu dapat mengetahui cara menumbuk, menyepak dan menangkis cubaan culikan mereka. Selain itu, setelah mengikuti latihan intensif, mereka akan lebih bersedia dari segi mental. Golongan yang tidak belajar nescaya akan panik dan hanya melaung meminta tolong, sebaliknya ilmu pengetahuan diri membezakan sama ada kita hidup ataupun tidak. Tegasnya, kita perlu mempelajari seni mempertahankan diri supaya sedia menghadapi apa jua keadaan, persis sediakan payung sebelum hujan.

     Rentetan itu, seni mempertahankan diri mampu menyihatkan dan menguatkan otot. Hal ini demikian kerana semua seni mempertahankan diri memerlukan latihan yang memenatkan dan bersifat menyeluruh. Melalui gerak-geri tertentu, langkah pantas dan keupayaan menjaga postur badan, seseorang itu akan menjaga ototnya serta menguatkannya. Malahan, aktiviti kardiovaskular seperti joging, latihan mengangkat berat dan regangan yang merupakan asas seni mempertahankan diri boleh membakar kalori berlebihan. Aktiviti sedemikian merupakan cara semula jadi melangsingkan badan. Seterusnya, pemakanan yang sihat dengan mengambil gizi makanan berkhasiat boleh menyihatkan badan. Seseorang yang mempelajari seni mempertahankan diri perlu ada badan yang kuat dan bertenaga. Secara konotasinya, komposisi badan akan menjadi seimbang. Dalam pada itu, sistem imunisasi badan dapat diperkuat, seterusnya melindungi kita daripada penyakit. Otak juga akan menjadi cerdas persis pepatah, badan cergas, otak cerdas. Justeru, kita dapat berfikir dengan lebih jelas dan mendalam lagi. Intihanya, seni mempertahankan diri menyihatkan badan kita supaya kita tidak mudah jatuh sakit.

     Sementelahan itu, salah satu faedah seni mempertahankan diri ialah mampu menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kita. Contohnya, menepati masa dan tidak membazir masa kerana masa itu emas. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap saat dalam perlawanan seni mempertahankan diri menentukan sama ada kita berjaya ataupun tidak. Sekiranya kita melelapkan mata dan cuai seketika, sudah tentu kita akan terhumban ke lantai. Rentetan itu, kita dapat meningkatkan keyakinan diri. Tanpa keyakinan diri, kita tidak boleh berdepan musuh atau pihak lawan. Perlawanan juga menyuntik keberanian dalam sanubari kita. Hasilnya, kita tidak akan takut untuk mencuba sesuatu dan tidak mudah tertipu. Izharnya, seni mempertahankan diri menerapkan nilai-nilai murni untuk memastikan kita sentiasa bersedia dalam apa-apa situasi.

     Sebagai penggulung segala yang dibincangkan, seni mempertahankan diri memberikan banyak maslahat kepada kita. Justeru, semua pihak harus bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menggiatkan orang ramai menceburi kemahiran ini. Menurut Beng Tju, seorang ahli falsafah, rakyat ialah akar bangsa, jika akarnya sihat, pokoknya pun sihat juga. Tegasnya, seni mempertahankan diri merupakan satu anugerah mustahak daripada nenek moyang kita yang wajar diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah masyarakat Malaysia mengamalkan seni mempertahankan diri untuk melahirkan negara aman, damai dan permai.

Saturday 15 April 2017

Faktor Peningkatan Kadar KEMALANGAN JALAN RAYA

Faktor utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya di negara ini adalah berpunca daripada sikap pemandu kenderaan. Bincangkan.


[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.



Kemalangan Jalan Raya Melayangkan Nyawa
"Langkah ampuh lagi bersepadu perlu dicanang dan digarap bagi memastikan fabrik keselamatan jalan raya bebas daripada hangus dalam api kemalangan akibat sikap pemandu yang rakus"

     Marcapada, perkembangan dunia sains dan teknologi serta pembangunan nusa tercinta kita semakin hangat menari mengikut arus globalisasi menyebabkan pelbagai perubahan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Pemodenan ini telah membawa kepada perubahan strata masyarakat dan juga sikap mereka yang bersikap mementingkan diri sendiri, ibarat enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Masyarakat kontemporari ini mengejar dunia fatamorgana sehingga kebanyakkannya meluangkan lebihan masa di luar berbanding di dalam rumah. Jaringan pengangkutan seperti lebuh raya dan jalan raya diumpamakan sebagai pemangkin kemajuan tersebut. Sayang, seribu kali sayang, saban hari berlaku banyak kemalangan jalan raya di Malaysia. Kita tidak tergamak membaca makalah, melihat skrin kaca televisyen mahupun mendengar corong-corong radio tentang kemalangan yang berlaku, terutamanya semasa musim perayaan. Laporan trafik setiap pagi melaporkan kesesakan lalu lintas seolah-olah menjadi norma masyarakat metropolitan. Semasa musim perayaan pula, kerajaan menyarankan para pemandu untuk berwaspada melalui berita dan vektor yang lain. Namun demikian, saranan ini seperti mencurah air ke daun keladi apabila angka kematian saban hari meningkat. Mangsa kemalangan sudah tentu mengalami trauma sepanjang hidup dan adakah kita sanggup melihat anak-anak menangis teresak-esak kehilangan orang tersayang? Menurut laporan sahih Polis Diraja Malaysia, punca utama berlakunya kemalangan adalah disebabkan oleh sikap pemandu. Justeru, satu persoalan yang berlegar-legar di benak fikiran kita ialah bagaimana sikap pemandu menyebabkan kemalangan? Tepuk dada, tanya selera!

     Sebagai mukadimah perbincangan, sikap sesetengah pemandu yang memandu secara tidak berhemah merupakan punca kemalangan. Pemandu tersebut tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya atas alasan lewat dan sebagainya. Contohnya, terdapat pemandu yang tidak berhenti apabila lampu isyarat bertukar kepada merah lantaran tidak sabar menunggu. Sikap berhenti di kotak kuning pula menyebabkan kereta-kereta lain tersesak dan pemandunya naik angin. Tindakan ini merupakan punca kesesakan lalu lintas. Pemandu yang tidak berhenti mungkin terlanggar dengan pemandu lain yang mematuhi peraturan. Menurut Berita Harian beberapa bulan lepas, terdapat beberapa pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di hadapan sebuah pasar sehingga menyempitkan jalan. Seorang pemandu lori yang melalui jalan tersebut berasa amat marah lalu melanggar 18 buah kereta di situ. Oleh hal yang demikian, pemandu hendaklah meletakkan kenderaan mereka di parkir yang disediakan. Di samping itu, terdapat pemandu yang memandu secara mengelirukan. Misalnya, mereka sekejap ke kiri, sekejap ke kanan sehingga pemandu yang menyusul tertanya-tanya mengapa dia membuat sedemikian. Pemandu yang tidak menggunakan lampu isyarat dan membelok secara tiba-tiba merupakan satu ancaman di jalan raya. Hal ini menyebabkan pemandu lain tidak dapat memberhentikan kenderaan dengan cepat. Kesannya, kemalangan serta layangan nyawa berlaku. Sikap-sikap ini secara totalnya merupakan konotasi kepada kemalangan. Tegasnya, para pemandu harus ingat untuk memandu secara berhemah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

     Sebagai lontaran idea kedua, kecuaian pemandu itu sendiri boleh menyebabkan kemalangan. Terdapat pemandu yang langsung tidak servis kenderaan mereka selagi tiada apa-apa masalah utama. Mereka menganggap kereta seolah-olah tidak akan rosak dan menunggu sehingga kilometer terakhir. Hal ini menyebabkan kenderaan tidak dapat berfungsi secara optimum dan keadaannya seperti telur di hujung tanduk. Contohnya, brek yang kurang cekap menyukarkan kawalan di kawasan bercuram. Di samping itu, kekurangan minyak pelincir menyebabkan suhu enjin naik sehingga terpaksa berhenti seketika. Malah ada juga pemandu yang sanggup memandu dalam keadaan lampu brek tidak berfungsi. Kemelut ini sangat membimbangkan kerana memberi kesan buruk kepada pengguna jalan raya yang lain kerana tidak dapat menjangka apabila kenderaan tersebut berhenti. Malahan, perkara paling mengejutkan ialah sikap pemandu yang tidak menghiraukan jumlah minyak petrol dalam tangki kenderaan. Mereka khusyuk memandu sehingga kenderaan tersebut tiba-tiba berhenti di tengah jalan. Jelaslah pengguna sedemikian harus ditarik balik lesen memandunya kerana bersikap tidak bertanggungjawab. Rentetan itu, pemandu perlu mengambil berat akan status tayar kenderaan mereka. Sekiranya lalai, nescaya tayar akan botak dan kekurangan angin. Bas-bas awam, terutamanya bas ekspres amat berbahaya sekiranya berada dalam kondisi tersebut. Tuntasnya, pemandu kenderaan hendaklah menitikberatkan keadaan kenderaan kerana malang tidak berbau.

     Jika ditelusuri secara mendalam, salah satu sikap buruk pemandu ialah menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan lantaran perkembangan dunia teknologi bagai belut diketil ekor ini. Aplikasi "WhatsApp", "Facebook", dan sebagainya digunakan semasa memandu untuk tujuan hiburan. Pengenalan sistem mengecas USB dalam kereta merumitkan kenderaan kerana pemandu boleh mengecas peranti mereka. Perkara ini sangat berbahaya dan berisiko tinggi kerana terlepas pandang pada sesuatu saat, sudah tentu maut menunggu. Tambahan pula, terdapat pemandu yang leka mengetaip atau menyaksikan "YouTube" dari peranti mereka sehingga tidak menghiraukan kenderaan di sekitar mereka. Para penunggang motosikal pula menyelitkan telefon bimbit dalam topi keledar mereka. Adakah masa terlalu singkat sehingga perlu menggadai nyawa? Penggunaan peranti akan mengubah fokus kita dan mengubah fikiran kita, seterusnya mengurangkan perhatian di jalan raya. Lebih-lebih lagi apabila pemandu memandu dalam keadaan mengantuk atau mabuk, terutamanya pada waktu malam. Hal ini demikian kerana pemandu yang mengantuk mungkin tertidur manakala kaki botol mudah hilang kawalan lantaran masa tindak balas yang lama. Memandu dengan fikiran yang kusut atau berkecai memburukkan keadaan kerana tertekan. Izharnya, memandu bukanlah sesuatu perkara mudah, justeru perhatian seratus peratus harus dicurahkan kepada jalan kerana pandu cermat, jiwa selamat.

     Marilah kita mencapaikan lensa ke perspektif yang berbeza kepada sikap takbur para pengguna jalan raya. Pengguna jalan raya pada era ini tidak menghargai nyawa mereka. Saban hari kita mendengar dan melihat mat rempit merempit di jalan raya menggunakan motor yang diubah suai. Polemik ini amat berleluasa di bandar Kuala Lumpur sehingga merunsingkan pihak berkuasa. Malah, menteri wilayah persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pernah menyuarakan pendapat menutup jalan untuk mengadakan perlumbaan secara mingguan di Kuala Lumpur sebagai wadah mengurangkan rempit. Sikap takbur yakni merasakan diri mereka baik dan cekap turut ada dalam penduduk lain. Waima dinasihati pelbagai kali, penunggang serta pembonceng motosikal masih enggan memakai topi keledar. Segelintir yang memakainya pula tidak mengetatkan talinya. Pemandu kenderaan pula hanya mencapai tali pinggang keledar dan tergesa-gesa memakainya apabila terlihat kelibat polis trafik. Sikap langsung tidak peduli ekoran merasakan diri mereka jauh lebih baik mengundang kecelakaan sekiranya ditimpa kemalangan. Tempias filem-filem Barat seperti "Fast and Furious 8" membawa kepincangan kepada masyarakat lantaran terpengaruh untuk berlumba di jalan raya. Sikap menunjuk-nunjuk kehebatan masing-masing dibawa sehingga berlumba di jalan berliku-liku bagai ular kena palu. Kesannya, kemalangan nescaya berlaku akibat ego dan prejudis tersebut. Secara totalnya, sikap merasakan diri mereka terlalu agung menyebabkan mereka mengikut nafsu. Mereka seharusnya sedar bahawa peribahasa Melayu pernah mengatakan bahawa ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut suka duka, dan ikut nafsu lesu.

     Akhirulkalam, bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa sikap pemandu yang tidak beretika merupakan punca utama berlakunya kemalangan jalan raya. Sesungguhnya, sebagai rakyat madani yang berteraskan akidah yang mulia, masyarakat sayugianya menunjukkan keperibadian mulia di jalan raya. Beng Tju, seorang pemikir unggul pernah berkata, rakyat itu akar bangsa, jika akarnya sihat, pokoknya pun sihat juga. Justifikasi daripada itu, setiap orang harus memainkan peranan mereka memandu berhemah di jalan raya untuk memanifestasikan sebuah negara bebas kemalangan jalan raya. Semua pihak harus bersinergi dalam mencari formula dan resipi untuk disuntik dalam nukleus masyarakat. Sikap hanya mengharapkan kerajaan harus dielakkan kerana bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Sebagai rakyat Malaysia yang mampu berfikir, kita sewajarnya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya mencari jalan penyelesaian, bak kata peribahasa, sudah merah, kunyit salahkan kapur, kapur salahkan kunyit. Implisitnya, langkah ampuh lagi bersepadu perlu dicanang dan digarap bagi memastikan fabrik keselamatan jalan raya bebas daripada hangus dalam api kemalangan akibat sikap pemandu yang rakus. Lampu Aladin sendiri tidak bersinar tanpa Aladin berusaha menggosoknya. Justeru, bagi merealisasikan aspirasi Tun Dr. Mahathir Mohammad, anjakan paradigma perlu dimulakan kerana mengikut Lautze, perjalanan beribu batu hanya bermula dengan langkah yang pertama. Hargailah nyawa anda di jalan raya, bak kata serangkap pantun;

Buah mangga buah delima,
Makan sebiji terasa kelat;
Ingatlah keluarga setiap masa,
Pandu cermat jiwa selamat.