Friday, 21 April 2017

Faedah-Faedah Menyertai Aktiviti BADAN BERUNIFORM

Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah yang diperoleh apabila kita menyertai aktiviti badan beruniform.


[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.


Pengakap merupakan satu jenis badan beruniform
"Kita harus sedar bahawa malang tidak berbau dan kita perlu sediakan payung sebelum hujan supaya tidak terpinga-pinga pada saat-saat kecemasan"

     “Berikan aku 100 orang tua, aku hanya mampu menggoncang sebuah perahu. Berikan aku 10 orang pemuda, aku pasti menggoncangkan dunia”, memetik kata-kata  nukilan mantan presiden Indonesia, Soekarno, jelas membuktikan satu mesej eksplisit yakni pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Menyedari hakikat tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia ialah mewajibkan kokurikulum diadakan di setiap buah sekolah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu membentuk murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah. Badan beruniform merupakan satu unit dalam aktiviti kokurikulum yang dirancang khas untuk membentuk disiplin dan sahsiah diri murid. Sayang, seribu kali sayang, remaja pada era ini lebih cenderung membazirkan masa mereka dengan melepak di pusat beli-belah dan aktiviti tidak berfaedah lain. Badan beruniform dapat digunakan untuk mengisi masa lapang, lantaran masa itu emas. Persoalannya, apakah faedah-faedah menyertai badan beruniform?

     Pada asasnya, badan beruniform dapat membentuk semangat kerjasama yang kental dalam jiwa anak watan. Badan beruniform mendorong ahlinya bekerja sebagai satu unit pasukan yang memerlukan komitmen dari setiap ahli. Misalnya, melalui aktiviti kawad, ahli-ahli perlu bekerjasama dalam menyusun langkah dan mendengar arahan komandan supaya mempunyai rentak yang sama serta seragam. Seterusnya, sekiranya ahli menyertai ekspedisi, mereka perlu menggembleng tenaga dan mencurahkan keringat daripada tulang empat kerat untuk mendirikan khemah secara bersama, lantaran berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Terdapat juga aktiviti berpasukan yang memerlukan ahli berkompromi dalam melakukannya. Tamsilannya, aktiviti peperangan kecil melibatkan beberapa orang memainkan peranan mereka dan bersatu supaya tidak diceroboh oleh musuh, persis kata mutiara, bersatu teguh, bercerai roboh. Secara implisitnya, melalui badan beruniform,  murid-murid akan mengikis sikap mementingkan diri sendiri, bak kata peribahasa, seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Tegasnya, semangat kerjasama bagai aur dengan tebing dapat dibentuk melalui aktiviti badan beruniform agar masyarakat bersatu serta hidup aman, damai, dan permai.

     Rentetan itu, aktiviti badan beruniform boleh menyemai ketahanan mental dan fizikal dalam diri anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti lasak seperti ‘flying fox’ dan sebagainya memerlukan elemen keberanian dalam silibusnya. Seseorang yang penakut nescaya tidak dapat melakukannya malah sentiasa tidak berani mencuba aktiviti yang baru. Aktiviti badan beruniform seperti mendaki gunung yang acap kali dianjurkan oleh unit pengakap bertujuan untuk melahirkan dan membentuk keyakinan diri. Seseorang yang mengikuti aktiviti tersebut tidak mudah berputus asa kerana memiliki mental yang kuat, persis di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Aktiviti meneroka hutan, berlumba bot dan sebagainya menguatkan otot-otot kita sehingga mudah melakukannya, lantaran alah bisa, tegal biasa. Badan yang sihat diperoleh, dan kesihatan diri terjamin, seterusnya keyakinan diri dalam kehidupan dapat ditingkatkan melalui badan beruniform. Deduksinya, seseorang yang mengikuti aktiviti badan beruniform akan dihias dengan ketahanan mental dan fizikal serta mampu menongkah segala cabaran pada era ini.

     Sementelahan itu, pengetahuan asas bantuan kecemasan dapat dipelajari melalui latihan pertolongan cemas. Kebanyakan badan beruniform mempunyai cara tertentu untuk bertindak dalam situasi kecemasan dan mendidik ahlinya tentang gerak-geri yang wajar diambil. Misalnya, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) telah mempelopori kemahiran ini dengan mendedahkan ahlinya kepada rawatan kecemasan. Kita dapat menguasai cara membalut, merawat tulang patah dan sebagainya melalui modul yang disusun. Selain itu, resusitasi kardiopulmonari iaitu CPR yang dipelajari boleh digunakan sekiranya rakan- rakan mahupun orang awam pengsan secara tiba-tiba. Secara holistiknya, seseorang itu lebih selamat mengikuti pelbagai aktiviti seperti meredah hutan, mendaki dan sebagainya kerana memiliki ilmu pengetahuan merawat diri, bukan seperti tikus membaiki labu. Bantuan kecemasan ini penting kerana tanpa bantuan ini, pesakit yang tinggal nyawa-nyawa ikan boleh menghadapi komplikasi yang lain atau menemui ajal. Kita harus sedar bahawa malang tidak berbau dan kita perlu sediakan payung sebelum hujan supaya tidak terpinga-pinga pada saat-saat kecemasan. Tuntasnya, aktiviti badan beruniform mendedahkan kita kepada pengetahuan asas bantuan kecemasan agar dapat membantu mangsa secara efektif dan pantas.



     Sebagai penggulung segala yang dibincangkan, aktiviti badan beruniform mempunyai seribu satu kemaslahatan yang harus dieksploitasi oleh murid-murid. Sesungguhnya, generasi kini yang merasakan bahawa badan beruniform hanya membuang masa dan tidak menguasai kemahiran tersebut. Badan beruniform merupakan satu formula khas yang disusun bagi mengurangkan masalah gejala sosial dan pengaruh negatif, di samping mencambahkan minda anak watan. Justeru, wadah efektif ini tidak harus dipandang enteng, sebaliknya digunakan secara maksimum untuk melahirkan generasi berketerampilan tinggi, sihat dan mempunyai jati diri yang unggul. Semua pihak harus berganding bahu dalam menjayakan matlamat murni ini agar masyarakat madani dapat dicapai menjelang tahun 2020. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah masyarakat memperoleh faedah daripada aktiviti badan beruniform. 

16 comments:

Adakah kualiti karanganpanas mantap? Perlukan contoh karangan? Nyatakan di sini!