Saturday, 13 May 2017

KEISTIMEWAAN MALAYSIA Menarik Pelancong

Industri pelancongan menjanakan pendapatan yang lumayan kepada negara kita. Jelaskan keistimewaan yang terdapat di negara kita sehingga pelancong asing berminat untuk berkunjung ke Malaysia.


[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.

Malaysia berupaya menarik pelancong dari serata dunia

"Amalan bertegur sapa, menghormati dan menguntum senyuman manis menarik pelancong berkunjung ke negara kita."


     “Jauh perjalanan, luas pemandangan”, itulah frasa yang sering berlegar-legar di gawang minda pelancong apabila acap kali merantau seantero dunia. Marcapada, nusa tercinta kita semakin rancak menari mengikut gendangan arus modenisasi sehingga berjaya menjadi hab pelancongan terkenal di dunia. Keupayaan Malaysia bersaing dengan negara-negara gergasi dunia sebagai destinasi idaman pelancong meletakkan Malaysia setanding dan setaraf dengan mereka, persis duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Malaysia berjaya mempromosikan keistimewaannya sehingga menambat hati pelancong untuk makan angin di pusat peranginan terkenal negara. Perkembangan sektor pelancongan bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini memberikan kesan yang signifikan dalam meningkatkan ekonomi negara. Tidak dinafikan pengaliran mata wang asing ke negara kita juga meningkatkan nilai mata wang tempatan selain menggalakkan persaingan sihat antara pemaju-pemaju syarikat perhotelan. Nukleus utama kejayaan pelancongan Malaysia adalah disebabkan oleh keistimewaan kita. Persoalannya, apakah keistimewaan tanah air sehingga pelancong berminat berkunjung? Tepuk dada, tanyalah selera!

     Sebagai mukadimah perbincangan, Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, khususnya kaum Melayu, Cina dan India. Setiap kaum ini mempunyai budaya, agama dan bahasa yang berbeza. Misalnya, kaum Melayu menyambut Hari Raya Aidilfitri manakala kaum Cina menyambut Tahun Baru Cina. Perayaan Deepavali pula disambut pada akhir tahun oleh kaum India. Perbezaan perayaan-perayaan tersebut dapat dilihat pada hiasan pusat beli-belah dan media sosial. Keunikan makanan tradisional seperti roti canai, nasi lemak, tapai dan sebagainya menjadi sebahagian daripada sajian umum. Kepelbagaian makanan yang menawarkan rasa enak ini menarik pelancong mencuba perisa-perisa Timur. Makanan dan budaya unik tersebut tidak terdapat di mana-mana tempat di dunia kecuali di Malaysia, dan perkara inilah yang menambat hati pelancong untuk melancong ke negara kita. Pelancong dapat melihat dengan mata mereka sendiri norma hidup masyarakat dan merasakan budaya tempatan bersama rakyat Malaysia. Tegasnya, variasi kaum dan budaya kita menjadi satu tarikan pelancong untuk melangkah kaki ke negara Malaysia.

     Sebagai lontaran idea kedua, Malaysia terkenal dengan rakyatnya yang berbudi bahasa. Budaya timur yang bersulamkan nilai-nilai murni dan bersopan-santun mencerminkan identiti kita. Amalan bertegur sapa, menghormati dan menguntum senyuman manis menarik pelancong berkunjung ke negara kita. Salah satu fenomena menakjubkan ialah kehidupan masyarakat berbilang bangsa yang harmoni. Hal ini disebabkan oleh sikap bertoleransi dan menghormati antara satu sama lain yang menjadi kebiasaan masyarakat, persis alah bisa tegal biasa. Perpaduan ini dapat dikecapi dengan menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang menguar-uarkan gagasan 1 Malaysia. Pengunjung berasa kagum akan perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia, bak kata peribahasa, seciap bak ayam, sedencing bak besi. Izharnya, sikap berbudi bahasa rakyat merupakan keistimewaan Malaysia yang menarik pelancong.

     Jika ditelusuri dari perspektif yang berbeza, kedudukan Malaysia yang strategik di Garisan Khatulistiwa menawarkan iklim panas dan lembab sepanjang tahun. Cuaca sedemikian menjadi faktor tarikan pengunjung terutamanya dari negara yang beriklim sejuk seperti Eropah. Selain itu, kita memiliki khazanah negara yang tidak ternilai seperti hutan hujan tropika serta kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna. Hutan hujan tropika yang berusia lebih 400 ribu tahun telah diwartakan sebuah hutan simpan dan menjadi habitat pelbagai haiwan dan spesies pokok. Taman Negara pula memiliki spesies tumbuh-tumbuhan yang tidak terdapat di mana-mana. Di samping itu, terdapat banyak pusat peranginan seperti Tanah Tinggi Cameron, Pulau Redang, Pulau Langkawi dan sebagainya. Kawasan bergunung-ganang seperti Banjaran Titiwangsa dan Gunung Kinabalu menawarkan aktiviti pendakian gunung. Pelancong juga boleh mengalami pantai semulajadi yang bersih seperti Port Dickson, Pantai Cahaya Bulan dan sebagainya. Sudah terang lagi bersuluh bahawa keunikan spesies flora dan fauna serta iklim menjadi faktor tarikan pelancong penting.

     Jika kita melihat dari perspektif yang berbeza, peranan kerajaan mengimplementasikan pelbagai dasar menggalakkan perkembangan industri pelancongan merupakan keistimewaan Malaysia. Malaysia mempunyai jaringan pengangkutan dan perhubungan yang mampu memudahkan mobiliti pelancong. Misalnya, Lebuhraya Utara Selatan meningkatkan darjah ketersampaian dari satu bandar ke bandar yang lain secara signifikan. Sistem kereta api pula menjadi nadi perkhidmatan awam kerana berupaya menghantar pelancong ke destinasi pilihan mereka tanpa melalui kesesakan jalan raya. Selain itu, sistem politik yang stabil di negara kita mewujudkan suasana yang harmoni dan selamat. Pelancong dapat bergerak secara bebas tanpa perlu risau akan kacau-bilau dalam negara. Kemudahan pasar raya, pusat beli-belah dan industri perhotelan yang bertaraf antarabangsa dan disyorkan lima bintang menjadi tempat pelancong berkerumun. Intihanya, dasar kerajaan yang menggalakkan pembangunan negara merupakan faktor tarikan pelancong.

     Akhirulkalam, bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa terdapat banyak keistimewaan di Malaysia yang dapat menarik pelancong. Sesungguhnya, sektor pelancongan mampu memberi pulangan yang lumayan dan harus dikembangkan untuk meningkatkan daya bersaing. Semua pihak harus bersinergi dan berusaha bagai air mencari jenisnya dalam meluaskan horizon pemikiran mereka. Kesimpulannya, sektor pelancongan bergantung pada faktor tarikan. Bertitik tolak daripada itu, faktor tarikan harus diperbanyakkan lagi untuk menarik lebih banyak pengunjung.

Usaha-Usaha Mengatasi PENCEMARAN ALAM


Bincangkan usaha-usaha mengatasi pencemaran alam.


[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.

Pencemaran alam kerap mengetuk pintu masyarakat

"Berbekalkan ketaasuban mengadakan kempen, sudah tentu rakyat dapat mempelajari serta mendapat kesedaran akan pencemaran alam."

     Marcapada, secara sedar atau tidak, lantaran terlalu dihidangkan dengan ledakan sains dan teknologi, watan mendepani kepincangan yang lazimnya lebih cenderung iaitu pencemaran alam. Dalam milenium ini, tatkala nusa tercinta kita rancak menari mengikut rentak arus modenisasi, kemelut pencemaran alam bukan sahaja makin barah, bahkan juga menjadi duri dalam daging masyarakat. Saban hari kita melihat polemik ini terpampang pada dada akhbar serta menghiasi lembaran media massa. Jika ditanya, siapa dalangnya atau manakah akar umbinya, masing-masing menuding jari sesama sendiri, bak kata peribahasa, sudah merah, kunyit salahkan kapur, kapur salahkan kunyit. Justeru, satu soalan ingin saya lontarkan, apakah anjakan paradigma yang perlu digarap yang dicanang bagi membendung kekangan ini?

     Pada asasnya, kerajaan merupakan penawar mujarab dalam menangani polemik yang semakin ruwet ini. Kerajaan perlulah menguatkuasakan undang-undang sebagai senjata yang dominan. Biarlah orang ramai yang membuat kesalahan disaman kerana sudah terhantuk baru terngadah. Pengusaha-pengusaha kilang yang tidak bertanggungjawab hanya membiarkan sahaja kilang-kilang mereka melepaskan asap berbahaya ke atmosfera, semata-mata untuk mengawal untungan, persis kata mutiara, seperti memasang lukah di pergentingan. Kilang-kilang seperti ini harus disita untuk mengelakkan masalah ini berterusan. Hakikatnya, masalah jerebu sedikit sebanyak dapat dikurangkan. 

     Ekoran dari itu, peranan ibu bapa tidak kurang pentingnya. Ibu bapa merupakan insan yang terdekat dengan anak-anak dan hasil usaha merekalah yang dapat memberikan impak yang besar. Ibu bapa hendaklah bersikap tegas untuk memastikan cahaya mata mereka tidak mencemarkan alam, bukan seperti sesetengah ibu bapa yang memberi lembayung kasih sayang yang melimpah ruah, persis bagai menatang minyak yang penuh, sehingga terlalu memanjakan anak-anak. Ibu bapa juga hendaklah mempraktikan gaya hidup sihat yang mengurangkan pencemaran seperti mengamalkan program kitar semula, tidak membuang sampah merata-rata dan sebagainya. Selain itu, ibu bapa boleh mengasingkan sampah sarap dan membuangnya menggunakan warna plastik yang berbeza mengikut piawaian kitar semula. Natijahnya, nescaya anak-anak akan meniru perbuatan ini, persis kata mutiara, bapa borek anak rintik. 

     Rentetan itu, alma mater juga memainkan peranan yang mustahak, yakni mendidik peri pentingnya alam sekitar serta menerapkan nilai-nilai murni dalam sanubari anak-anak. Bukankah ini serampang dua mata? Pada usia yang muda, iaitu sejak alam windu lagi, anak-anak perlulah disemai dengan nilai-nilai murni sebelum kudis menjadi tokak. Melalui cara ini, generasi muda yang utopia dapat dibina, misalnya generasi yang menjulang tinggi kebersihan alam. Penerapan nilai murni melalui Pendidikan Moral bukan sahaja dapat melahirkan golongan yang mengambil berat tentang alam sekitar, bahkan juga dapat memahatkan semangat cinta akan alam sekitar. Pelbagai program boleh diadakan untuk merealisasikan usaha ini, secara tamsilan termasuk pertandingan kelas terbersih, sayembara puisi, aktiviti gotong-royong dan sebagainya. Izharlah bahawa sekolah merupakan wadah yang paling berkesan dan dapat meningkatkan kembali tahap semangat cinta akan alam sekitar yang telah lama merudum. 

     Sementelah hari itu, kempen-kempen kesedaran wajar diadakan secara giat dan lebih efektif. Kempen-kempen yang dapat memberi seribu satu kemaslahatan ini perlu mendapat sambutan hangat dari rakyat seluruh negara. Penganjuran kempen-kempen ini haruslah diuar-uarkan dalam media massa bercetak mahupun elektronik. Berbekalkan ketaasuban mengadakan kempen, sudah tentu rakyat dapat mempelajari serta mendapat kesedaran akan pencemaran alam. Kesedaran seperti ini akan mengubah perspektif rakyat dan mereka akan mula menanam semangat cinta akan alam. Pihak kerajaan haruslah bersendel bahu dengan badan bukan kerajaan untuk menggerakkan kempen-kempen ini.

     Secara holistiknya, kita haruslah mengorak langkah untuk membendung pencemaran sejak anak-anak merah tapak kaki lagi. Kita tidak boleh menggambangkan masalah pencemaran, sebaliknya gancang mengambil langkah yang ampuh dan bersepadu. Semua pihak perlu berusaha bagai air mencari jenisnya dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Usaha harus diambil, kerana perjalanan beribu batu ini hanya bermula dengan langkah yang pertama.

Cara-Cara Mengurangkan MASALAH STRES

Huraikan pendapat anda tentang cara-cara untuk mengurangkan masalah stres dalam kalangan rakyat Malaysia.

[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.
Tekanan atau stres yang tinggi boleh menjejaskan kesihatan seseorang 

"Suasana yang sejuk dan senyap mengajar kita melepaskan tekanan dengan melelapkan mata di bawah sebatang pokok redup."

     Stres merupakan masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakat Malaysia. Polemik ini merujuk kepada tekanan yang tinggi sehingga menaikkan tekanan darah dan membawa kepada ketidakstabilan emosi. Lantaran menerjah arus modenisasi, pelbagai sektor di Malaysia telah berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Sektor-sektor tersebut memerlukan perkhidmatan rakyat untuk melonjakkan prestasi mereka. Dunia yang semakin materialistik pula memaksa rakyat bekerja keras bagai lebah menghimpun madu demi menyara keluarga mereka dan membeli peralatan yang diingini. Harga barang yang tinggi serta kos hidup yang melambung menyebabkan masyarakat pelbagai cara kontemporari untuk bersaing dengan industri lain. Hakikatnya, rakyat Malaysia mendepani kepincangan ini sehingga menjejaskan organisasi sosial negara. Persoalan yang sering berlegar-legar di benak fikiran kita ialah apakah cara atau minhaj untuk mengurangkan masalah stres dalam kalangan rakyat Malaysia?


     Pada asasnya, rakyat Malaysia hendaklah meluangkan masa mereka untuk bersukan. Sukan amat sesuai untuk semua lapisan masyarakat dan membantu mengurangkan tekanan. Misalnya, permainan bola sepak, badminton, tenis dan sebagainya bukan sahaja memberi suasana yang berbeza, bahkan juga membantu menyihatkan badan. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui sukan, seseorang mengeluarkan peluh dan hormon endorfin yang mencerdaskan otak, persis badan cergas, otak cerdas. Aktiviti ini boleh dimain di padang, taman permainan atau gelanggang yang berhampiran dengan rumah masyarakat. Dengan bermain bersama rakan-rakan kita, fokus kita akan beralih daripada beban kerja kepada suasana permainan. Kita tidak akan memikirkan kerja seharian dan proses ini boleh merehatkan otak kita. Tegasnya, orang ramai perlu bersukan untuk memperoleh kebaikan serampang dua mata, iaitu mengatasi masalah stres disamping menyihatkan diri, persis sambil menyelam minum air. 

     Selain itu, rakyat negara kita perlu beriadah dan berekreasi. Aktiviti bermandi-manda di air terjun, makan angin dan sebagainya membebaskan kita daripada cengkaman realiti. Aktiviti sedemikian boleh diadakan bersama keluarga mahupun rakan sepejabat secara berkala. Contohnya, pada cuti sekolah, hari keluarga dan pelepasan umum. Persekitaran yang berteraskan flora dan fauna serta penuh dengan udara nyaman mampu menyegarkan diri kita. Bunyi air mengalir serta dendangan lagu alam semulajadi dapat menenangkan jiwa kita yang dahulu dikongkong oleh hiruk-pikuk bandar. Suasana yang sejuk dan senyap mengajar kita melepaskan tekanan dengan melelapkan mata di bawah sebatang pokok redup. Hakikatnya, tekanan kita dapat dilepaskan dan diganti pula dengan jiwa yang tenang. Justeru, tidak dinafikan aktiviti beriadah dan berekreasi melepaskan stres kita di samping memberi persekitaran berbeza, bak kata peribahasa, jauh perjalanan, luas pemandangan. 

     Rentetan itu, individu yang menghadapi masalah stres yang serius harus berjumpa dengan doktor. Hal ini demikian kerana doktor lebih berpengalaman dan tahu cara mengubatinya, persis kata mutiara, jauhari juga yang mengenal manikam. Apabila kita mengalami sakit kepala atau migrain, doktor dapat memberi khidmat kesihatan dan menasihati kita untuk menangani tekanan. Imbasan CT dapat menunjukkan kondisi otak manakala kepakaran doktor menganalisis dan mendiagnos diri kita untuk mengelakkan masalah ini bertambah ruwet, persis sebelum kudis menjadi tokak. Seterusnya, pemberian ubat-ubatan menenangkan jiwa boleh merawat gejala ini. Kita juga dapat bertanya dan menjelaskan kekeliruan kita. Intihanya, perkhidmatan doktor wajar diperoleh untuk menangani masalah stres kerana doktor memahami anatomi badan kita. 

     Sebagai penggulung segala yang dibincangkan, masalah stres merupakan satu kekangan serius dan harus ditangani sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya tidak, nescaya masyarakat tidak dihembusi bayu keharmonian lantaran terikat dengan kehidupan rancak di bandar. Justeru, semua pihak harus bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam mencari jalan penyelesaian serta tidak memandang enteng terhadap polemik ini persis rumput di tepi jalan. Sesungguhnya, Beng Tju, seorang pemikir unggul pernah menukilkan kata-kata, “rakyat ialah akar bangsa, jika akarnya sihat, pokoknya sihat juga”. Tuntasnya, masalah stres perlu dibendung untuk menjamin masa depan masyarakat yang sejahtera, damai dan permai.


Saturday, 6 May 2017

BAJET ASAS Bagi Individu yang Baru Bekerja


Bincangkan bajet asas bagi individu yang baru bekerja.


[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.


Pengagihan belanjawan mengelakkan sikap boros

"Janganlah kita bersikap ibarat sudah terhantuk baru terngadah kerana tiada gunanya menyesal apabila kudis menjadi tokak, persis sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya"



     Dalam dunia yang semakin bergerak bagai belut diketil ekor ini, kehidupan manusia ibarat satu perlumbaan. Sebuah kesilapan dapat membawa kesan besar dalam kehidupan seseorang, lebih-lebih lagi anak watan yang merupakan bakal pemimpin negara, ibarat pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Anak watan yang tamat pengajiannya dan baru mula bekerja harus berfikir secara bijak dan rasional dalam mengagihkan bajet asas supaya tidak berbelanja berlebihan. Individu yang baru bekerja harus berpegang pada peribahasa ingat sebelum kena, jimat sebelum habis supaya tidak berhutang sekeliling pinggang dan diisytiharkan muflis di muka hari. Justeru, perancangan yang komprehensif dari segi perbelanjaan kewangan adalah mustahak bagi membina watan yang kemandirian. 


     Umum mengetahui bahawa kos rumah tinggi merupakan satu kekangan yang menjalar dalam benak fikiran individu. 40% daripada bajet harus ditumpukan kepada sewa rumah dan membayar bil-bil utiliti seperti elektrik, air, dan sistem televisyen berbayar. Hal ini demikian kerana kos rumah semakin melambung terutamanya di kawasan bandar dan rumah merupakan satu keperluan pada abad ini. Bil-bil juga harus dijelaskan supaya perkhidmatan tidak terputus dan individu tidak tertekan ekoran dikenakan denda yang tinggi. Elektrik, air dan sistem kumbahan dikatakan keperluan asas dalam dunia pekerjaan, justeru seseorang hendaklah memastikan bayarannya tidak tertangguh agar perbelanjaan lain tidak perlu digadaikan untuk membayar sebarang faedah atau denda tambahan. 


     Selain itu, 30% daripada bajet harus diperuntukkan untuk perbelanjaan peribadi seperti makanan, pakaian dan sebagainya. Makanan merupakan keperluan asas dan perlu diambil untuk membukakan tenaga seharian. Individu yang baru bekerja juga memerlukan pelbagai pakaian untuk situasi tertentu terutamanya yang mendirikan rumah tangga. Contohnya, pakaian bekerja, rumah, dan juga pakaian anak-anak. Wang peribadi ini juga digunakan untuk tujuan hiburan seperti menonton wayang dan Internet. Namun demikian, kita harus berbelanja secara berhemah dan mengikut keperluan agar tidak menyesal di muka hari, persis kata mutiara, ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut suka duka, dan ikut nafsu lesu. 


     Di samping itu, 20% daripada bajet digunakan untuk membayar hutang pinjaman pelajaran dan digunakan sebagai wang simpanan. Seseorang yang lazimnya melangkah kaki ke menara gading membuat pinjaman pelajaran melalui agensi seperti PTPTN, MARA dan JPA. Setelah mula bekerja, mereka perlu membayar balik hutang tersebut agar individu lain dapat menikmati pinjaman juga. Dalam pada itu, lebihan wang hendaklah disimpan di bank seperti Tabung Haji atau skim simpanan wang tetap untuk kegunaan masa depan. Wang simpanan ini boleh digunakan untuk percutian, pembiayaan kos pelajaran anak-anak atau untuk masa kecemasan. Pepatah Melayu pernah berbunyi, malang tidak berbau, justeru kita perlu sentiasa bersedia, persis sediakan payung sebelum hujan. 


     Jika ditelusuri secara mendalam, baki 10% dalam bajet asas diperuntukkan untuk kemudahan pengangkutan termasuk pinjaman kereta. Lepasan mahasiswa yang baru kerja sememangnya perlu berulang-alik dari rumah ke tempat kerja untuk bekerja. Sebahagian individu mengidam-idamkan kereta persendirian untuk meningkatkan mobiliti mereka. Sama ada menggunakan perkhidmatan awam seperti bas dan kereta api atau membayar ansuran kereta, individu tersebut harus memastikan perbelanjaan tersebut tidak melebihi 10% daripada bajetnya. Bagi melicinkan urusan pembelian kereta, individu boleh membeli kereta nasional seperti Proton atau Perodua yang menawarkan kereta bermutu tinggi pada harga berpatutan terutamanya kepada lepasan universiti universiti. Lebih-lebih lagi syarikat tersebut memberi pelbagai diskaun dan rebat. Sudah terang lagi bersuluh, 10% daripada bajet hendaklah diketepikan khas untuk pengangkutan. 


     Deduksinya, seseorang individu yang baru bekerja harus meluaskan horizon pemikirannya dan merancang perbelanjaannya sebelum nasi menjadi bubur. Dunia ini tidak selamat sekiranya kita berbelanja sesuka hati, apatah lagi pelbagai iklan menggiurkan yang menggoda kita untuk berbelanja. Janganlah kita bersikap ibarat sudah terhantuk baru terngadah kerana tiada gunanya menyesal apabila kudis menjadi tokak, persis sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Masyarakat juga dinasihatkan agar berbelanja secara waras, bak kata peribahasa, seperti ukur baju di badan sendiri, supaya tidak ketinggalan dalam arus modenisasi ini.

Friday, 5 May 2017

Tujuan Mengadakan HARI KANTIN di Sekolah

Bincangkan tujuan mengadakan hari kantin di sekolah.

[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.

 
Terdapat pelbagai tujuan hari kantin diadakan di sekolah

"Melalui peranan individu masing-masing, nilai bekerjasama dan bersatu padu dapat disuntik, seterusnya menghasilkan bangsa bertoleransi demi menjaga keamanan sarwajagat"

     “Sesungguhnya, bangsa yang berjaya ialah bangsa yang rajin dan sanggup menghadapi cabaran hidup”, memetik kata-kata nukilan mantan Perdana Menteri keempat Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, jelas menunjukkan bahawa seseorang harus berusaha secara rajin bagi mengecapi matlamatnya. Dalam konteks kehidupan watan pada era langit terbuka ini, kebanyakan alma mater tidak berupaya menaik taraf kemudahan mereka secara mendadak lantaran nusa tercinta kita masih dalam proses perkembangan pesat, bak kata peribahasa, seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Justeru, sekolah-sekolah di empat penjuru negara kita mengadakan sambutan hari kantin sebagai aktiviti tahunan kerana menyumbang seribu satu kemaslahatan. Sebenarnya, walaupun tujuan utamanya jelas, namun tempias yang dibawanya amat bermanfaat terutamanya kepada murid yang bakal menerajui tampuk pentadbiran negara, persis pucuk dicita, ulam mendatang. Hari kantin bukanlah satu fenomena asing kerana telah mencari ruang dan peluang dalam kalangan masyarakat tanpa mengira mana-mana batasan. Persoalannya, apakah tujuan hari kantin diadakan di sekolah?

     Sebagai mukadimah perbincangan, tujuan utama hari kantin dianjurkan adalah untuk mengutip dana. Pelbagai gerai dibuka yang dioperasi oleh murid-murid bagi meningkatkan hasil pendapatan pada hari tersebut. Sebahagian daripada hasil melalui jualan kupon akan didermakan kepada pihak sekolah untuk digunakan meningkatkan infrastruktur sekolah. Misalnya, dana diperoleh boleh digunakan untuk membina blok baru, menambahkan bahan ilmiah di perpustakaan atau meningkatkan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi selaras dengan wawasan 2020. Kepelbagaian juadah seperti nasi lemak, mi sup, kuih-muih yang menggiurkan menarik murid-murid untuk berbelanja. Malah wang ini mampu mengurangkan beban pihak sekolah dan PIBG serta merupakan wadah memajukan sekolah supaya menjadi lebih kondusif. Tegasnya, hari kantin merupakan sumber dana yang penting.

     Sebagai lontaran idea kedua, hari kantin mengindoktrinasikan nilai kerjasama dalam kalangan murid-murid. Sekumpulan murid yang ingin mengusahakan gerai harus belajar membahagikan tugasan mereka, saling melengkapi dan mempercayai satu sama lain. Beberapa orang murid boleh memasak manakala ahli yang lain boleh melayan atau bersedia di kaunter bayaran. Selain itu, pengurus gerai pula perlu memastikan operasi jualan berjalan dengan lancar. Melalui peranan individu masing-masing, nilai bekerjasama dan bersatu padu dapat disuntik, seterusnya menghasilkan bangsa bertoleransi demi menjaga keamanan sarwajagat. Hal ini dapat mewujudkan persefahaman dan melatih mereka bersatu kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Jelaslah bahawa hari kantin membantu mewujudkan ikatan silaturahim antara pewaris nusa.

     Di samping itu penyemaian budaya niaga dikatakan satu matlamat hari kantin yang bersifat serampang dua mata kerana mengasah bakat perniagaan mereka serta memberi pendedahan menceburi bidang tersebut. Contohnya, murid-murid harus mengenali pelbagai juadah, cara menetapkan harga, cara delegasi, dan berinteraksi dengan pelanggan. Selain itu, aspek kebersihan perlu diutamakan supaya kawasan pemakanan tidak kotor dan dihinggapi lalat yang boleh mengundang penyakit. Keyakinan diri berpotensi dikukuhkan apabila menghadapi onak dan duri sewaktu menjalankan perniagaan. Sebenarnya, rintangan tersebut mengajar remaja supaya berhati-hati dan mencari akal memikat pelanggan. Keseluruhannya, hari kantin merupakan satu wahana jelas dalam memberi pendedahan dunia perniagaan kepada anak watan.


     Intihanya, hari kantin memberi pelbagai manfaat dan bertujuan untuk meningkatkan tahap seseorang murid di samping memajukan kemudahan sekolah. Sekiranya kita hendak generasi baru menikmati infrastruktur lengkap dan memiliki jati diri, hari kantin perlu kerap diadakan dari masa ke masa. Rentetan itu, pelbagai usaha pragmatik perlu dijunjung agar usaha murni ini tidak ditangan-tangankan, persis hangat-hangat tahi ayam, sebaliknya menjadi nadi pembangunan alma mater. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah hari kantin terus memberi pelbagai maslahat.