Wednesday 19 April 2017

Faedah-faedah mempelajari SENI MEMPERTAHANKAN DIRI

Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah mempelajari seni mempertahankan diri.


[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.


Seni mempertahankan diri memberikan seribu satu kemaslahatan
"Seni mempertahankan diri merupakan satu anugerah mustahak daripada nenek moyang kita yang wajar diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat"

     Mutakhir ini, kadar jenayah di negara kita kian meningkat sehingga mencapai tahap yang membimbangkan. Saban hari kita dihidangkan dengan berita mengenai kes ragut, rompak dan sebagainya melalui dada makalah, corong-corong radio mahupun kaca skrin televisyen. Kemelut ini lazimnya berlaku di bandar-bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur lantaran masyarakatnya berpendapatan tinggi. Dalam pada itu, seni mempertahankan diri  dilihat sebagai satu wadah untuk pertahankan diri dan disyorkan oleh pihak polis mahupun kerajaan. Sebenarnya, seni mempertahankan diri mempunyai pelbagai faedah. Di negara kita, terdapat seni mempertahankan diri seperti Wushu, Taekwondo, Karate dan Silambam. Persoalannya, apakah faedah-faedah mempelajari seni pertahanan diri?

     Pada asasnya, seni mempertahankan diri adalah untuk mempertahankan diri  semasa berlaku pergaduhan atau kecemasan. Misalnya, pada ketika ini kes meragut dan menculik kian meningkat sehingga menghantui semua pihak. Para penculik menyasarkan golongan kanak-kanak dan remaja untuk mendapatkan wang tebusan atau menjual mereka kepada ejen pemerdagangan manusia. Melalui seni pertahanan diri, seseorang itu dapat mengetahui cara menumbuk, menyepak dan menangkis cubaan culikan mereka. Selain itu, setelah mengikuti latihan intensif, mereka akan lebih bersedia dari segi mental. Golongan yang tidak belajar nescaya akan panik dan hanya melaung meminta tolong, sebaliknya ilmu pengetahuan diri membezakan sama ada kita hidup ataupun tidak. Tegasnya, kita perlu mempelajari seni mempertahankan diri supaya sedia menghadapi apa jua keadaan, persis sediakan payung sebelum hujan.

     Rentetan itu, seni mempertahankan diri mampu menyihatkan dan menguatkan otot. Hal ini demikian kerana semua seni mempertahankan diri memerlukan latihan yang memenatkan dan bersifat menyeluruh. Melalui gerak-geri tertentu, langkah pantas dan keupayaan menjaga postur badan, seseorang itu akan menjaga ototnya serta menguatkannya. Malahan, aktiviti kardiovaskular seperti joging, latihan mengangkat berat dan regangan yang merupakan asas seni mempertahankan diri boleh membakar kalori berlebihan. Aktiviti sedemikian merupakan cara semula jadi melangsingkan badan. Seterusnya, pemakanan yang sihat dengan mengambil gizi makanan berkhasiat boleh menyihatkan badan. Seseorang yang mempelajari seni mempertahankan diri perlu ada badan yang kuat dan bertenaga. Secara konotasinya, komposisi badan akan menjadi seimbang. Dalam pada itu, sistem imunisasi badan dapat diperkuat, seterusnya melindungi kita daripada penyakit. Otak juga akan menjadi cerdas persis pepatah, badan cergas, otak cerdas. Justeru, kita dapat berfikir dengan lebih jelas dan mendalam lagi. Intihanya, seni mempertahankan diri menyihatkan badan kita supaya kita tidak mudah jatuh sakit.

     Sementelahan itu, salah satu faedah seni mempertahankan diri ialah mampu menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kita. Contohnya, menepati masa dan tidak membazir masa kerana masa itu emas. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap saat dalam perlawanan seni mempertahankan diri menentukan sama ada kita berjaya ataupun tidak. Sekiranya kita melelapkan mata dan cuai seketika, sudah tentu kita akan terhumban ke lantai. Rentetan itu, kita dapat meningkatkan keyakinan diri. Tanpa keyakinan diri, kita tidak boleh berdepan musuh atau pihak lawan. Perlawanan juga menyuntik keberanian dalam sanubari kita. Hasilnya, kita tidak akan takut untuk mencuba sesuatu dan tidak mudah tertipu. Izharnya, seni mempertahankan diri menerapkan nilai-nilai murni untuk memastikan kita sentiasa bersedia dalam apa-apa situasi.

     Sebagai penggulung segala yang dibincangkan, seni mempertahankan diri memberikan banyak maslahat kepada kita. Justeru, semua pihak harus bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menggiatkan orang ramai menceburi kemahiran ini. Menurut Beng Tju, seorang ahli falsafah, rakyat ialah akar bangsa, jika akarnya sihat, pokoknya pun sihat juga. Tegasnya, seni mempertahankan diri merupakan satu anugerah mustahak daripada nenek moyang kita yang wajar diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah masyarakat Malaysia mengamalkan seni mempertahankan diri untuk melahirkan negara aman, damai dan permai.

18 comments:

Adakah kualiti karanganpanas mantap? Perlukan contoh karangan? Nyatakan di sini!