Saturday 15 April 2017

Faktor Peningkatan Kadar KEMALANGAN JALAN RAYA

Faktor utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya di negara ini adalah berpunca daripada sikap pemandu kenderaan. Bincangkan.


[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.



Kemalangan Jalan Raya Melayangkan Nyawa
"Langkah ampuh lagi bersepadu perlu dicanang dan digarap bagi memastikan fabrik keselamatan jalan raya bebas daripada hangus dalam api kemalangan akibat sikap pemandu yang rakus"

     Marcapada, perkembangan dunia sains dan teknologi serta pembangunan nusa tercinta kita semakin hangat menari mengikut arus globalisasi menyebabkan pelbagai perubahan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Pemodenan ini telah membawa kepada perubahan strata masyarakat dan juga sikap mereka yang bersikap mementingkan diri sendiri, ibarat enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Masyarakat kontemporari ini mengejar dunia fatamorgana sehingga kebanyakkannya meluangkan lebihan masa di luar berbanding di dalam rumah. Jaringan pengangkutan seperti lebuh raya dan jalan raya diumpamakan sebagai pemangkin kemajuan tersebut. Sayang, seribu kali sayang, saban hari berlaku banyak kemalangan jalan raya di Malaysia. Kita tidak tergamak membaca makalah, melihat skrin kaca televisyen mahupun mendengar corong-corong radio tentang kemalangan yang berlaku, terutamanya semasa musim perayaan. Laporan trafik setiap pagi melaporkan kesesakan lalu lintas seolah-olah menjadi norma masyarakat metropolitan. Semasa musim perayaan pula, kerajaan menyarankan para pemandu untuk berwaspada melalui berita dan vektor yang lain. Namun demikian, saranan ini seperti mencurah air ke daun keladi apabila angka kematian saban hari meningkat. Mangsa kemalangan sudah tentu mengalami trauma sepanjang hidup dan adakah kita sanggup melihat anak-anak menangis teresak-esak kehilangan orang tersayang? Menurut laporan sahih Polis Diraja Malaysia, punca utama berlakunya kemalangan adalah disebabkan oleh sikap pemandu. Justeru, satu persoalan yang berlegar-legar di benak fikiran kita ialah bagaimana sikap pemandu menyebabkan kemalangan? Tepuk dada, tanya selera!

     Sebagai mukadimah perbincangan, sikap sesetengah pemandu yang memandu secara tidak berhemah merupakan punca kemalangan. Pemandu tersebut tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya atas alasan lewat dan sebagainya. Contohnya, terdapat pemandu yang tidak berhenti apabila lampu isyarat bertukar kepada merah lantaran tidak sabar menunggu. Sikap berhenti di kotak kuning pula menyebabkan kereta-kereta lain tersesak dan pemandunya naik angin. Tindakan ini merupakan punca kesesakan lalu lintas. Pemandu yang tidak berhenti mungkin terlanggar dengan pemandu lain yang mematuhi peraturan. Menurut Berita Harian beberapa bulan lepas, terdapat beberapa pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di hadapan sebuah pasar sehingga menyempitkan jalan. Seorang pemandu lori yang melalui jalan tersebut berasa amat marah lalu melanggar 18 buah kereta di situ. Oleh hal yang demikian, pemandu hendaklah meletakkan kenderaan mereka di parkir yang disediakan. Di samping itu, terdapat pemandu yang memandu secara mengelirukan. Misalnya, mereka sekejap ke kiri, sekejap ke kanan sehingga pemandu yang menyusul tertanya-tanya mengapa dia membuat sedemikian. Pemandu yang tidak menggunakan lampu isyarat dan membelok secara tiba-tiba merupakan satu ancaman di jalan raya. Hal ini menyebabkan pemandu lain tidak dapat memberhentikan kenderaan dengan cepat. Kesannya, kemalangan serta layangan nyawa berlaku. Sikap-sikap ini secara totalnya merupakan konotasi kepada kemalangan. Tegasnya, para pemandu harus ingat untuk memandu secara berhemah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

     Sebagai lontaran idea kedua, kecuaian pemandu itu sendiri boleh menyebabkan kemalangan. Terdapat pemandu yang langsung tidak servis kenderaan mereka selagi tiada apa-apa masalah utama. Mereka menganggap kereta seolah-olah tidak akan rosak dan menunggu sehingga kilometer terakhir. Hal ini menyebabkan kenderaan tidak dapat berfungsi secara optimum dan keadaannya seperti telur di hujung tanduk. Contohnya, brek yang kurang cekap menyukarkan kawalan di kawasan bercuram. Di samping itu, kekurangan minyak pelincir menyebabkan suhu enjin naik sehingga terpaksa berhenti seketika. Malah ada juga pemandu yang sanggup memandu dalam keadaan lampu brek tidak berfungsi. Kemelut ini sangat membimbangkan kerana memberi kesan buruk kepada pengguna jalan raya yang lain kerana tidak dapat menjangka apabila kenderaan tersebut berhenti. Malahan, perkara paling mengejutkan ialah sikap pemandu yang tidak menghiraukan jumlah minyak petrol dalam tangki kenderaan. Mereka khusyuk memandu sehingga kenderaan tersebut tiba-tiba berhenti di tengah jalan. Jelaslah pengguna sedemikian harus ditarik balik lesen memandunya kerana bersikap tidak bertanggungjawab. Rentetan itu, pemandu perlu mengambil berat akan status tayar kenderaan mereka. Sekiranya lalai, nescaya tayar akan botak dan kekurangan angin. Bas-bas awam, terutamanya bas ekspres amat berbahaya sekiranya berada dalam kondisi tersebut. Tuntasnya, pemandu kenderaan hendaklah menitikberatkan keadaan kenderaan kerana malang tidak berbau.

     Jika ditelusuri secara mendalam, salah satu sikap buruk pemandu ialah menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan lantaran perkembangan dunia teknologi bagai belut diketil ekor ini. Aplikasi "WhatsApp", "Facebook", dan sebagainya digunakan semasa memandu untuk tujuan hiburan. Pengenalan sistem mengecas USB dalam kereta merumitkan kenderaan kerana pemandu boleh mengecas peranti mereka. Perkara ini sangat berbahaya dan berisiko tinggi kerana terlepas pandang pada sesuatu saat, sudah tentu maut menunggu. Tambahan pula, terdapat pemandu yang leka mengetaip atau menyaksikan "YouTube" dari peranti mereka sehingga tidak menghiraukan kenderaan di sekitar mereka. Para penunggang motosikal pula menyelitkan telefon bimbit dalam topi keledar mereka. Adakah masa terlalu singkat sehingga perlu menggadai nyawa? Penggunaan peranti akan mengubah fokus kita dan mengubah fikiran kita, seterusnya mengurangkan perhatian di jalan raya. Lebih-lebih lagi apabila pemandu memandu dalam keadaan mengantuk atau mabuk, terutamanya pada waktu malam. Hal ini demikian kerana pemandu yang mengantuk mungkin tertidur manakala kaki botol mudah hilang kawalan lantaran masa tindak balas yang lama. Memandu dengan fikiran yang kusut atau berkecai memburukkan keadaan kerana tertekan. Izharnya, memandu bukanlah sesuatu perkara mudah, justeru perhatian seratus peratus harus dicurahkan kepada jalan kerana pandu cermat, jiwa selamat.

     Marilah kita mencapaikan lensa ke perspektif yang berbeza kepada sikap takbur para pengguna jalan raya. Pengguna jalan raya pada era ini tidak menghargai nyawa mereka. Saban hari kita mendengar dan melihat mat rempit merempit di jalan raya menggunakan motor yang diubah suai. Polemik ini amat berleluasa di bandar Kuala Lumpur sehingga merunsingkan pihak berkuasa. Malah, menteri wilayah persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pernah menyuarakan pendapat menutup jalan untuk mengadakan perlumbaan secara mingguan di Kuala Lumpur sebagai wadah mengurangkan rempit. Sikap takbur yakni merasakan diri mereka baik dan cekap turut ada dalam penduduk lain. Waima dinasihati pelbagai kali, penunggang serta pembonceng motosikal masih enggan memakai topi keledar. Segelintir yang memakainya pula tidak mengetatkan talinya. Pemandu kenderaan pula hanya mencapai tali pinggang keledar dan tergesa-gesa memakainya apabila terlihat kelibat polis trafik. Sikap langsung tidak peduli ekoran merasakan diri mereka jauh lebih baik mengundang kecelakaan sekiranya ditimpa kemalangan. Tempias filem-filem Barat seperti "Fast and Furious 8" membawa kepincangan kepada masyarakat lantaran terpengaruh untuk berlumba di jalan raya. Sikap menunjuk-nunjuk kehebatan masing-masing dibawa sehingga berlumba di jalan berliku-liku bagai ular kena palu. Kesannya, kemalangan nescaya berlaku akibat ego dan prejudis tersebut. Secara totalnya, sikap merasakan diri mereka terlalu agung menyebabkan mereka mengikut nafsu. Mereka seharusnya sedar bahawa peribahasa Melayu pernah mengatakan bahawa ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut suka duka, dan ikut nafsu lesu.

     Akhirulkalam, bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa sikap pemandu yang tidak beretika merupakan punca utama berlakunya kemalangan jalan raya. Sesungguhnya, sebagai rakyat madani yang berteraskan akidah yang mulia, masyarakat sayugianya menunjukkan keperibadian mulia di jalan raya. Beng Tju, seorang pemikir unggul pernah berkata, rakyat itu akar bangsa, jika akarnya sihat, pokoknya pun sihat juga. Justifikasi daripada itu, setiap orang harus memainkan peranan mereka memandu berhemah di jalan raya untuk memanifestasikan sebuah negara bebas kemalangan jalan raya. Semua pihak harus bersinergi dalam mencari formula dan resipi untuk disuntik dalam nukleus masyarakat. Sikap hanya mengharapkan kerajaan harus dielakkan kerana bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Sebagai rakyat Malaysia yang mampu berfikir, kita sewajarnya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya mencari jalan penyelesaian, bak kata peribahasa, sudah merah, kunyit salahkan kapur, kapur salahkan kunyit. Implisitnya, langkah ampuh lagi bersepadu perlu dicanang dan digarap bagi memastikan fabrik keselamatan jalan raya bebas daripada hangus dalam api kemalangan akibat sikap pemandu yang rakus. Lampu Aladin sendiri tidak bersinar tanpa Aladin berusaha menggosoknya. Justeru, bagi merealisasikan aspirasi Tun Dr. Mahathir Mohammad, anjakan paradigma perlu dimulakan kerana mengikut Lautze, perjalanan beribu batu hanya bermula dengan langkah yang pertama. Hargailah nyawa anda di jalan raya, bak kata serangkap pantun;

Buah mangga buah delima,
Makan sebiji terasa kelat;
Ingatlah keluarga setiap masa,
Pandu cermat jiwa selamat.


1 comment:

  1. boleh x buatkan karangan mengenai sukan.. karangan kemalangan ni menarik sgt..

    ReplyDelete

Adakah kualiti karanganpanas mantap? Perlukan contoh karangan? Nyatakan di sini!