Bincangkan punca dan langkah mengatasi Pencemaran Bahasa.
[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.
Kata-kata merupakan asas sesuatu bahasa |
"Adakah kita sanggup melihat fabrik perpaduan dan masa depan bangsa hangus terbakar dalam api bahasa tercemar yang marak?"
Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Sebahagian daripada pantun klasik yang membawa makna eksplisit bahawa bahasa mempunyai keindahannya tersendiri melalui bait-bait frasa dan penyusunan kata-kata. Tidak dinafikan bahawa bahasa merupakan satu penciptaan penting yang melonjakkan zaman prasejarah sehingga bermulanya kehidupan bertamadun. Dalam meniti beribu-ribu tahun serta menari mengikut rentak globalisasi yang bergerak bagai belut diketil ekor, bahasa kebangsaan kita telah melalui pelbagai penyesuaian dan penambahbaikan agar terus kekal relevan dan sesuai digunakan pada era langit terbuka ini. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia memainkan peranan penting sebagai bahasa perpaduan. Namun demikian, bahasa kebangsaan seolah-olah dianaktirikan apabila kemelut bahasa pijin, bahasa rojak dan sebagainya berleluasa. Lagu-lagu pula tidak mementingkan penggunaan bahasa yang betul sebaliknya mengutamakan rima dan frasa menarik. Bahasa-bahasa asing dicampuradukkan serta pelbagai slanga dan tatabahasa salah bukan sahaja dalam pergaulan masyarakat tetapi dibawa-bawa apabila berkomunikasi di perantauan. Yang lebih menyayatkan hati adalah apabila anak-anak watan yang merupakan bakal pemimpin, persis pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, diajar bahasa pijin ini. Masyarakat yang semakin khusyuk, leka dan taasub mengejar fatamorgana sanggup menggadaikan penggunaan bahasa betul semata-mata untuk memudahkan kerja seharian. Pencemaran bahasa ini dikatakan lebih ruwet berbanding pencemaran alam kerana bahasa mampu mencorakkan dan mempengaruhi fikiran bangsa sejagat, persis bahasa jiwa bangsa. Adakah kita sanggup melihat fabrik perpaduan dan masa depan bangsa hangus terbakar dalam api bahasa tercemar yang marak? Jika ditanya di manakah dalang pencemaran bahasa, masing masing menuding jari sesama sendiri, persis sudah merah, kunyit salahkan kapur, kapur salahkan kunyit. Persoalan yang berlegar-legar di gawang benak kita ialah di manakah silapnya dan apakah anjakan paradigma yang boleh digarap bagi menangani pencemaran bahasa ini? Tepuk dada, tanya selera!
Sebagai mukadimah perbincangan, salah satu punca dominan pencemaran bahasa adalah penggunaan bahasa yang salah oleh institusi keluarga, khususnya ibu bapa. Ibu bapa menggunakan bahasa pijin semasa pergaulan harian dengan anak-anak, tamsilnya mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Malah ada yang turut menggunakan bahasa ibunda dan slanga Barat dalam pertuturan. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya, bagaimana diajar, begitulah kemahiran berkomunikasi anak-anak. Contohnya, frasa seperti "i dah lunch, you ada kat mana?" dan sebagainya berkontradiksi dengan harapan ibu bapa untuk membentuk anak yang mahir berkomunikasi. Pengajaran tidak formal ini ibarat ketam menyuruh anaknya berjalan betul kerana ibu bapa sendiri melakukan kesilapan tersebut. Selain itu, terdapat ibu bapa yang menggunakan tatabahasa yang salah semasa bertutur. Hal ini meruncingkan lagi polemik pencemaran bahasa. Ibu bapa harus sedar bahawa anak-anak melihat mereka sebagai idola dan meniru perbuatan mereka, lantaran ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi? Oleh hal yang demikian, ibu bapa harus berfikir dua kali sebelum bercakap kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya, sebelum nasi menjadi bubur. Segelintir ibu bapa menggunakan ayat songsang, tergantung dan tidak berstruktur apabila berkomunikasi lantaran menganggap memadai apabila sesuatu mesej itu difahami. Sayang, seribu kali sayang, apabila ibu bapa cuba menunjuk-nunjuk menggunakan bahasa asing terhadap anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak tetap akan mencontohinya. Ibu bapa seyogianya sedar bahawa kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Pencemaran bahasa juga wujud dalam pertuturan kasar sama ada secara bersemuka atau melalui telefon. Ibu bapa yang tidak bertanggungjawab ini rela memaki hamun, mengasari serta meninggikan suara lalu turut mencemarkan kemurniaan bahasa. Nescaya setiap usaha memartabatkan bahasa ternyata terbazir pada saat anak-anak melihat perbuatan sedemikian, persis setitik nila, rosak susu sebelanga. Dalam pada itu, kekurangan bahan bacaan ilmiah dan rancangan berfaedah yang bermutu menghampakan usaha memperkasakan bahasa. Apabila anak watan kurang membaca, mereka tidak mengenali struktur bahasa yang betul dan tidak terdedah kepada dunia luar, ibarat katak di bawah tempurung. Sudah terang lagi bersuluh bahawa sikap ibu bapa tersebut meruwetkan pencemaran bahasa apabila dicontohi anak-anak, lantaran bapa borek, anak rintik.
Jika ditelusuri secara mendalam, media massa juga menyumbang kepada keruncingan pencemaran bahasa. Media massa seperti televisyen, radio, elektronik mahupun bercetak sering memutarkan lagu-lagu "indie" yang mengancam usaha memugar bahasa kebangsaan. Lagu-lagu "indie" atau "independent" bermaksud seni kata dan iramanya tidak terikat dan bebas sepenuhnya. Penulis lagu-lagu tersebut menggunakan bahasa rojak serta tatabahasa salah bagi merancakkan lagi lagu mereka demi mengaut keuntungan. Penulis sedemikian seyogianya patuh terhadap slogan "Bahasa Jiwa Bangsa" dan tidak mementingkan diri sendiri, persis enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Sayang, seribu kali sayang, mereka cuba mendapatkan wang ringgit dengan menggadaikan kesantunan bahasa semasa pencemaran bahasa berlaku, persis memasang lukah di pergentingan. Remaja yang berumur setahun jagung, dan berdarah setampuk pinang, semakin menggemari lagu tersebut. Malah, terdapat sensasi mencipta perkataan baru seperti "gua", "selfie", "wefie", "together-gether" yang merosakkan sepenuhnya kesinambungan bahasa. Seterusnya, pencemaran bahasa berlaku dalam filem-filem menjejaskan budaya masyarakat dan pemahaman bahasa mereka. Filem-filem dirujuk sebagai wadah mustahak dalam mengindoktrinasikan bahasa betul dan menyemai rasa cinta akan bahasa kebangsaan. Kendatipun demikian, adegan-adegan filem serta penggunaan dialog "rock" langsung tidak mencerminkan pemugaran bahasa, persis harapkan pagar, pagar makan padi. Yang lebih menyedihkan, masyarakat turut menggunakan penggunaan bahasa salah tersebut dalam pergaulan seharian. Dalam konteks ini, filem-filem seperti pada era Allahyarham Tan Sri P. Ramlee semakin lupus. Di samping itu, bahana gadget dikatakan musuh pemartabatan bahasa nombor satu. Remaja pada alaf ini khususnya amat kreatif dengan penciptaan pelbagai jenis singkatan yang digunakan di arena media sosial. Struktur, tatabahasa dan ejaan langsung tidak dipedulikan semata-mata untuk mencepatkan perbualan atas talian. Kemelut ini semakin membarah apabila bahasa "gadget" ini terbawa-bawa ke lembaran karangan. Sekiranya remaja terperosok dengan pencemaran bahasa, bagaimana tanggungjawab pemeliharaan kemurniaan bahasa dapat diletakkan pada pundak mereka? Fenomena ini pula dilihat menular bak virus epidemik apabila golongan dewasa, kanak-kanak dan bayi menggemari bahasa sedemikian. Tuntasnya, media massa dan media sosial merupakan satu ancaman besar terhadap pencemaran bahasa.
Setiap penyakit ada penawarnya, setiap kepincangan ada jalan penyelesaiannya, pencemaran bahasa dapat ditangani melalui komitmen syumul daripada ibu bapa. Sebagai langkah afdal, ibu bapa harus mementingkan penggunaan bahasa yang baik dan betul. Semasa bertutur dengan anak-anak mahupun orang luar, tatabahasa perlu diteliti agar menjadi ikutan anak-anak. Sekiranya lebih daripada satu bahasa difahami, maka satu bahasa perlu digunakan pada satu-satu masa supaya tidak berlaku asimilasi antara bahasa. Selain itu, ibu bapa sewajarnya menyediakan perpustakaan mini di rumah berbekalkan makalah-makalah ilmiah seperti Dewan Siswa, Dewan Masyarakat dan sebagainya. Hal ini demikian kerana artikel-artikel tersebut memuatkan penggunaan bahasa betul di samping meningkatkan kemahiran bahasa dan pengetahuan am. Perbendaharaan kata berkualiti pula amat dialu-alukan, persis kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan, untuk meluaskan horizon kamus minda remaja. Rentetan itu, ibu bapa harus menggalakkan anak-anak menyertai pertandingan menulis esei, mendeklamasikan sajak, perbahasan, sayembara puisi dan sebagainya untuk mencambahkan minda mereka dalam penggunaan bahasa betul. Penerapan penggunaan bahasa betul harus dilakukan sejak anak-anak merah tapak kakinya lagi, lantaran melentur buluh biarlah dari rebungnya dan kecil teranja-anja, besar terbawa-bawa. Tambahan pula, ibu bapa harus mendedahkan anak-anak kepada rancangan dan karya berfaedah yang dapat menterjemahkan keindahan bahasa melalui kata-kata. Contohnya, karya-karya Usman Awang, Aminnudin Baki dan sebagainya yang telah menyumbang bakti tidak ternilai dalam pemartabatan bahasa. Lebih-lebih lagi, karya seniman agung tanah air, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang tepu dengan bahasa menarik dan mesej eksplisit. Misalnya, frasa "sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri", yang menunjukkan institusi keluarga tidak terlari daripada pergolakan melalui susunan kata menarik. Ibu bapa seharusnya merujuk kepada karya seniman-seniman tersebut dalam menangani pencemaran bahasa kerana jauhari juga yang mengenal manikam. Secara tidak langsung, keyakinan diri anak-anak untuk berucap di khalayak ramai akan tersemai, meningkatkan darjah pemartabatan bahasa. Intihanya, ibu bapa memainkan peranan signifikan dalam meleraikan kekusutan pencemaran bahasa. Hakikatnya, sekiranya ibu bapa benar-benar melaksanakannya, ternyata pencemaran bahasa dapat diatasi, kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Jika diimbau dari dimensi yang berlainan, kerajaan sebagai jentera penggerak negara merupakan penawar mujarab bagi pencemaran bahasa. Pihak kerajaan perlu melipatgandakan usaha mereka dengan menggalakkan aktiviti berlandaskan pemartabatan bahasa. Misalnya, kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka harus menganjurkan konvensyen bahasa untuk meningkatkan kualiti bahasa. Pertandingan menulis cerpen, puisi serta pelbagai sayembara perlu diadakan dari masa ke masa untuk menarik minat generasi muda terhadap bahasa. Selain itu, majalah seperti Pelita Bahasa, Dewan Kosmik dan sebagainya harus ditingkatkan pasarannya supaya mudah didapati. Variasi majalah amat diperlukan supaya pelbagai lapisan masyarakat dapat membacanya, lantaran membaca jambatan ilmu. Seterusnya, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang terhadap individu yang memandang enteng terhadap penggunaan bahasa betul. Media massa harus ditapis dan diteliti agar bahasa betul sentiasa digunakan. Papan tanda jalan, iklan serta poster mestilah menggunakan ejaan dan tatabahasa betul bagi mengelakkan sebarang kemusykilan dalam kalangan masyarakat. Sekiranya individu enggan bekerjasama, tindakan berat perlu digarap sebelum kudis menjadi tokak. Kerajaan juga boleh meningkatkan penggunaan bahasa yang murni dalam urusan-urusan kerajaan. Jika dilihat dari perspektif berbeza, Kementerian Pelajaran Malaysia mendukung aspirasi memperkasakan bahasa juga. Aktiviti Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang dilaksanakan di alma mater perlu dijalankan dengan lebih kerap dan menyeluruh. Peperiksaan linguistik bahasa dan ujian lisan dan peendengaran harus dirombak agar menitikberatkan penggunaan bahasa yang betul. Kesedaran tentang pencemaran bahasa dan langkah menyelesaikannya boleh disulam dalam soalan-soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Tambahan pula, komponen sastera serta novel menarik yang bermutu tinggi bahasanya harus digunakan secara meluas di sekolah. Pada peringkat kebangsaan pula, pelancaran karnival Bulan Bahasa yang syumul dilihat sebagai benteng pemartabatan bahasa kerana pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan di bawahnya. Kempen-kempen kesedaran perlu digiatkan untuk memberi kesan yang lebih drastik. Tegasnya, kerajaan hendaklah menjalankan pelbagai aktiviti sebagai perintis pemartabatan bahasa.
Akhirulkalam, bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa pencemaran bahasa semakin membarah dan kemelut ini dikhuatiri menguburkan kesinambungan bahasa sekiranya tiada langkah mengatasinya. Bahasa merupakan ilmu yang diwarisi secara turun-temurun dan berfungsi bukan sahaja untuk berkomunikasi dan mengembangkan ilmu, bahkan juga sebagai benteng perpaduan, patriotisme dan keharmonian apabila digunakan secara betul. Sesungguhnya, remaja yang merupakan bakal pemimpin negara harus mempunyai pegangan bahasa yang kukuh agar mampu mengemudikan negara ke ambang mercu kejayaan. Penggunaan bahasa juga melambangkan bangsa tersebut, contohnya bangsa Jepun yang tidak melupakan bahasa dalam proses globalisasi. Justeru, semua pihak harus berganding bahu menstrukturkan formula bagi mengikis masalah pencemaran bahasa dengan usaha bagai air mencari jenisnya. Kita tidak boleh duduk dan mengharapkan kerajaan semata-mata kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Usaha-usaha pragmatik pula harus dilaksanakan sehingga mengecapi matlamat, bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam atau melepaskan batuk di tangga. Alexander Graham Bell pernah menukilkan kata-kata bahawa "apabila sesuatu pintu penyelesaian tertutup, kita melihatnya terlalu lama dan kemudiannya menyesal sehingga tidak sedar bahawa pintu lain telah terbuka". Justifikasi daripada itu, kita hendaklah memegang azam tinggi dan meluaskan horizon pemikiran agar rakyat nusa tercinta kita bebas daripada belenggu pencemaran bahasa. Walaupun halilintar membelah bumi, bahasa tetap menjadi identiti, yang wajar dipelihara, dikembangkan dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian, bak kata serangkap pantun,
Akhirulkalam, bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa pencemaran bahasa semakin membarah dan kemelut ini dikhuatiri menguburkan kesinambungan bahasa sekiranya tiada langkah mengatasinya. Bahasa merupakan ilmu yang diwarisi secara turun-temurun dan berfungsi bukan sahaja untuk berkomunikasi dan mengembangkan ilmu, bahkan juga sebagai benteng perpaduan, patriotisme dan keharmonian apabila digunakan secara betul. Sesungguhnya, remaja yang merupakan bakal pemimpin negara harus mempunyai pegangan bahasa yang kukuh agar mampu mengemudikan negara ke ambang mercu kejayaan. Penggunaan bahasa juga melambangkan bangsa tersebut, contohnya bangsa Jepun yang tidak melupakan bahasa dalam proses globalisasi. Justeru, semua pihak harus berganding bahu menstrukturkan formula bagi mengikis masalah pencemaran bahasa dengan usaha bagai air mencari jenisnya. Kita tidak boleh duduk dan mengharapkan kerajaan semata-mata kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Usaha-usaha pragmatik pula harus dilaksanakan sehingga mengecapi matlamat, bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam atau melepaskan batuk di tangga. Alexander Graham Bell pernah menukilkan kata-kata bahawa "apabila sesuatu pintu penyelesaian tertutup, kita melihatnya terlalu lama dan kemudiannya menyesal sehingga tidak sedar bahawa pintu lain telah terbuka". Justifikasi daripada itu, kita hendaklah memegang azam tinggi dan meluaskan horizon pemikiran agar rakyat nusa tercinta kita bebas daripada belenggu pencemaran bahasa. Walaupun halilintar membelah bumi, bahasa tetap menjadi identiti, yang wajar dipelihara, dikembangkan dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian, bak kata serangkap pantun,
Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.
Nota: Admin telah menulis karangan ini dalam masa 95 minit (1794 patah perkataan). Makalah-makalah Dewan Siswa dan Dewan Masyarakat amat membantu Admin menulis karangan-karangan seumpama ini. Admin ingin berkongsi idea dan ini merupakan salah satu karangan cemerlang terbaik Admin, lengkap disulami dengan 35 peribahasa dan variasi kosa kata menarik! Harap pembaca sekalian "share" laman sesawang ini melalui media sosial! Terima Kasih!