Sunday, 5 February 2017

Punca dan Langkah Mengatasi MASALAH JEREBU di Malaysia

Bincangkan punca dan langkah mengatasi masalah jerebu di Malaysia.


[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.


Jerebu di kawasan bandar
"Polemik ini seolah-olah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana acap kali melanda nusa tercinta kita"
          Fenomena cuaca berjerebu merupakan duri dalam daging kepada pihak kerajaan dan rakyat. Polemik ini seolah-olah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana acap kali melanda nusa tercinta kita. Realitinya, keadaan negara yang berjerebu ini amat membahayakan kesihatan rakyat.

          Pada asasnya, fenomena jerebu melanda negara kerana pembebasan asap daripada ekzos kenderaan bermotor. Hal ini menjadi semakin barah apabila bilangan kenderaan bermotor meningkat secara drastik seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kenderaan seperti lori, trelar, bas dan banyak lagi mengeluarkan asap karbon monoksida sehingga mencemarkan udara. Tidak dinafikan pula masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka juga menyebabkan fenomena jerebu semakin menjadi-jadi. Oleh sebab sampah-sarap dibakar sesuka hati, sikap masyarakat dikatakan bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Natijahnya, kanak-kanak diserang masalah sesak nafas dan penyakit asma menular.

          Selain itu, pembebasan asap beracun dari kilang merupakan punca berlakunya fenomena jerebu. Situasi ini bertambah buruk terutamanya di kawasan perindustrian dan perkilangan seperti Kawasan Perindustrian Bebas kerana pihak pengilang memasang corong asap yang rendah. Hal ini menyebabkan partikel-partikel terampai di udara. Sementalahan itu, Malaysia mengalami iklim khatulistiwa, iaitu cuaca panas dan lembab sepanjang tahun. Justeru, berlakunya cuaca yang terlampau panas secara kerap. Hal ini memburukkan jerebu kerana cuaca panas ini boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendiri. Sudah tentulah hujan asid, penyakit kulit dan sebagainya menyerang kita.

           Terdapat pelbagai cara untuk mengatasi masalah jerebu. Kerajaan merupakan penawar mujarab serta memikul kewajipan untuk menguatkuasakan undang-undang yang termaktub dalam Akta Alam Sekitar. Individu yang memandang enteng dan dan mengingkari garisan undang-undang dengan membakar sampah sarap secara terbuka harus dikenakan hukuman yang berat. Pemaju-pemaju kilang yang menutup sebelah mata dengan tidak menapis asap berbahaya harus dikenakan denda. Malah, pihak kerajaan boleh menyita premis-premis tersebut. Biarlah mereka menerima pengajaran supaya lebih peka terhadap isu jerebu pada hari muka, persis sudah terhantuk, baru terngadah.

          Jika ditelusuri secara mendalam, tindakan lain yang boleh kerajaan jalankan dalam menangani polemik jerebu ialah pembenihan awan. Hal ini penting untuk mengawal jumlah partikel terampai di udara, seterusnya menyekat jerebu daripada menular. Ekoran daripada fenomena El-Nino yang menjadi tetamu harian masyarakat, cuaca kering dan kemarau menjadi santapan ruji umum. Kesannya, habuk-habuk berterbangan, menjadikan jerebu semakin kronik. Melalui proses pembenihan awan, hujan yang dibentuk akan melarutkan partikel-partikel tersebut, seolah-olah membersihkan ruangan atmosfera. Tegasnya, jerebu dapat diatasi melalui pembenihan awan yang perlu dijalankan oleh pihak kerajaan.

          Intihanya, masalah jerebu ini perlu dibendung sebelum rakyat dihimpit dengan pelbagai kesusahan seperti masalah pernafasan, gangguan jaringan pengangkutan seperti kapal terbang dan sebagainya. Justeru, semua pihak harus berusaha bagai air mencari jenisnya, bersinergi dalam mencari formula masalah jerebu bersama, bak kata peribahasa, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dengan adanya kerjasama daripada kerajaan dan masyarakat, nescaya masalah jerebu dapat diatasi sebelum nasi menjadi bubur.

1 comment:

Adakah kualiti karanganpanas mantap? Perlukan contoh karangan? Nyatakan di sini!