Tuliskan satu karangan bertemakan "Malaysia: DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA"
Karya Pena: Arreen anak Savlan | Instagram
[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.
Malaysiaku - Tanah Tumpahnya Darahku |
"Ditanya pula maksudnya, terkebil-kebil generasi muda menjawabnya."
Tatkala pembangunan gah melata, prasarana tersergam indah di mata, globalisasi menerobos ke seantero dunia, perasaan cinta akan negara bagaikan hilang daripada kamus kehidupan masyarakat Malaysia, terutamanya golongan belia. Lebih menyedihkan, golongan muda bahkan mengagung-agungkan budaya barat dan menganggap budaya Malaysia tidak mengikut peredaran zaman. Seperti yang kita lihat, masyarakat Malaysia telah memilih untuk mencontohi budaya masyarakat luar terutamanya masyarakat Korea Selatan yang kian menjadi kegilaan ramai sama ada dari segi pemakaian atau pertuturan sedangkan bahasa ibunda sendiri masih tersekat-sekat, apatah lagi untuk menguasai bahasa lain. Memang tidak boleh disangkal lagi bahawa penguasaan bahasa lain mampu memberi pelbagai manfaat kepada kita, namun apalah gunanya sekiranya bahasa ibunda sendiri tidak dapat dikuasai? Hal yang turut membimbangkan semua pihak terutamanya pihak kerajaan Malaysia iaitu pemikiran masyarakat Malaysia yang begitu terikut-ikut dengan pemikiran masyarakat luar sama ada masyarakat Barat mahupun Timur. Lebih memburukkan keadaan, masyarakat Malaysia lebih memilih untuk menaiki kereta import berbanding kereta buatan negeri seperti Perodua dan Proton sedangkan kereta buatan Malaysia turut standing dengan kereta import. Oleh itu, siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah salah kerajaan yang memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur? Ataupun salah masyarakat sendiri yang tenggelam bersama misteri dasar tersebut? Tepuk dada, tanya selera.
Disini lahirnya sebuah cinta,
Yang murni abadi sejati,
Disini tersemai cita-cita,
Bercambah menjadi warisan.
Lirik lagu Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta nyanyian Allahyarham Sudirman telah mengambarkan betapa dalamnya cinta Allahyarham Sudirman terhadap negara. Namun demikian, lirik lagu ini seakan-akan hanya meniti di bibir masyarakat muda ketika sambutan Hari Kemerdekaan sahaja. Bahkan, ada juga masyarakat yang lupa akan bait lirik lagu ini yang menunjukkan betapa golongan itu langsung tidak menghargai dan menyayangi negara. Benarlah yang didakwa oleh Perdana Menteri kita, Tun Mahathir bin Mohamad, Melayu mudah lupa. Masyarakat semakin alpa dengan kedamaian dan keharmonian yang dikecapi negara. Generasi muda kian berasa selesa sehingga tidak mengambil langkah berhati-hati dalam mempertahankan kemerdekaan negara yang hampir mencapai 61tahun. Inisiatif pihak kerajaan menyediakan payung sebelum hujan dalam mempertahankan kemerdekaan negara dengan memperkenalkan pelbagai program seperti Program 1 Malaysia seolah-olah tidak seiring dengan sikap masyarakat Malaysia yang mengambil perkara tersebut sambil lewa seperti melepaskan batuk di tangga dek perasaan selesa mendiami tanah air Malaysia yang aman dan makmur. Oleh itu, generasi muda haruslah segera dibangunkan daripada tidur yang panjang sebelum nasi menjadi bubur.
Malaysia: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Acapkali slogan ini dipampang di dada-dada akhbar dan diperdengar di corong-corong radio. Namun demikian, slogan tersebut kini hanya sekadar mainan bibir golongan muda. Bila ditanya slogan kemerdekaan negara, dengan bangganya mereka menjawab ‘Malaysia: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’. Ditanya pula maksudnya, terkebil-kebil generasi muda menjawabnya. Malahan, ditanya siapa pejuang kemerdekaan, seakan-akan kosong minda mereka. Bukan itu sahaja, lebih membimbangkan banyak pihak iaitu apabila golongan muda seolah-olah lupa akan kemerdekaan yang telah dikecapi negara. Ditanya berapa tahun kemerdekaan, sekali lagi terkebil-kebil mata mereka. Oleh itu, generasi muda haruslah sedar akan tanggungjawab mereka dalam mengekalkna keharmonian dan kedamaian negara. Remaja Malaysia haruslah diberi pendedahan mengenai titik peluh dan mandian darah parajurit negara dalam mencapai kemerdekaan negara.
Inilah barisan kita,
Yang ikhlas berjuang,
Siap sedia berkorban,
Untuk ibu pertiwi!
Sebelum kita berjaya,
Jangan harap kami pulang,
Inilah sumpah pendekar kita,
Menuju medan bakti!
Lirik lagu di atas merupakan salah satu cara para pejuang kemerdekaan negara menggambarkan kesanggupan mereka untuk berkorban untuk negara walaupun terpaksa mempertaruhkan nyawa dan meninggalkan yang tersayang. Justeru itu, lagu bersifat kenegaraan seperti ini haruslah dimainkan di radio dengan lebih kerap ahar mendapat perhatian generasi muda untuk turut serta menghayati dan mendalami lagu ini. Oleh yang demikian, generasi muda dapat meningkatkan nilai cinta akan negara terhadap negara.
Umum tahu, masyarakat Malaysia kini kian mengagung-agungkan dan mengikut contoh negara luar berbanding tanah air sendiri. Oleh itu, semua pihak bertanggungjawab mengembalikan golongan tersebut ke jalan yang benar. Berbalik kepada keperluan para remaja menyedari tanggungjawab mereke mengekalkan kemerdekaan negara, remaja bolehlah meningkatkan perasaan cinta terhadap negara dengan mengunjungi muzium serta tempat-tempat bersejarah. Hal ini demikian untuk menyedarkan golongan remaja keperitan jalan yang diambil oleh para pemimpin terdahulu dalam mencapai kemerdekaan. Selain itu, cinta terhadap negara dalam kalangan remaja juga boleh dipupuk sedikit demi sedikit bak kata pepatah sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Terlebih dahulu, masyarakat Malaysia haruslah menyedari keindahan negara sendiri sama ada dari aspek kebudayaan masyarakat Malaysia mahupun keindahan tempat-tempat di Malaysia. Malaysia mempunyai pelbagai kaum, adat dan tradisi dek masyarakatnya yang pelbagai kaum. Oleh itu, pihak kerajaan haruslah berganding bahu ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah dengan pelbagai pihak terutamanya Jabatan Kebudayaan Negara mahupun Jabatan Pelancongan Negara untuk memperkenalkan pelbagai keistimewaan Malaysia kepada masyarakatnya.
Sebagai contoh, Jabatan Pelancongan Negara boleh mengurangakan harga tiket masuk ke pelbagai tempat menarik di Malaysia bagi masyarakat tempatan. Hal ini demikian untuk menarik minat masyarakat Malaysia untuk menerokai keindahan negara sendiri sebelum mengagumi negara lain. Contohnya, pihak Kampung Budaya di Sarawak mengurangkan harga tiket masuk bagi masyarakat tempatan. Tempat-tempat yang menawarkan keindahan alam semulajadi seperti Gunung Kinabalu juga haruslah memberkan tawaran khas bagi pengunjung tempatan. Hal ini bertujuan untuk memperkenalkan keindahan Malaysia kepada masyarakt tempatan seterusnya membuka mata masyarakat tempatan bahawa Malaysia turut standing dengan negara luar. Lebih menguntungkan, hal ini demikian turut mampu mengukuhkan perasaan cinta akan negara dalam diri masyarakat Malaysia.
Malaysia: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Rakyat Malaysia haruslah bersyukur dengan keharmonian dan keselamatan negara yang bebas daripada sebarang pergaduhan serta pertahanan meskipun didiami dengan pelbagai etnik, adat dan agama. Keamanan negara kita kian dicemburui negara lain seperti Indonesia. Oleh itu, golongan muda Malaysia haruslah didedahkan dengan keistimewaan adat dan tradisi di Malaysia yang seringkali dibualkan oleh masyarakat luar. Adat dan tradisi terutamanya dari aspek warisan bangsa, tarian, makanan dan pakaian haruslah menjadi titik kebanggaan semua masyarakat Malaysia. Antara cara untuk memperkenalkan warisan negara Malaysia iaitu dengan mempelbagaikan program-program dan aktiviti-aktiviti kenegaraan. Misalnya, Kempen Warisan Negara mahupun Sambutan Kemerdekaan Kebangsaan. Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Warisan seperti alunan muzik sape yang baru-baru ini telah mendapat nama di persada dunia apabila kumpulan daripada Sarawak iaitu Sada Borneo telah mendapat pelang menyertai Asia’s Got Talent musim 2015 untuk memperkenalkan alunan muzik tradisional masyarakat Sarawak dan mendapat pujian yang begitu membanggakan seluruh masyarakat Malaysia. Sedangkan masyarakat luar pun menyanjungi warisan negara kita, apatah lagi masyarakat kita sendiri. Oleh itu, program dan aktiviti seperti Kempen Warisan Negara dan Sambutan Kemerdekaan diharapkan dapat membibitkan perasaan cinta akan negara dalam diri golongan muda.
Malaysia: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Warisan negara seperti makanan tradisional haruslah turut disanjungi dan dihargai oleh masyarakat Malaysia terutamanya golongan muda kerana sekiranya bukan mereka yang memperjuangkan warisan negara, siapa lagi? Makanan tradisional seperti kek lapis, tuhau, umai dan nasi aruk sepatutnya diperkenalkan kepada golongan muda. Antara cara yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan iaitu mempamerkan dan menjual makanan tradisional dengan lebih murah di tempat-tempat yang menarik contohnya Kampung Budaya. Hal ini demikian ibarat sambal menyelam minum air, sambil para pelancong terutamanya pengunjung tempatan mengenali tradisi tarian masyarakt tempatan sendiri, mereka juga dapat mengenali makanan tradisi tinggalan nenek moyang kita.
Selain itu, pihak kerajaan juga telah mengadakan Kempen Makanan Tradisi yang kebiasaannya diadakan pada bulan kemerdekaan, bulan apabila pemimipin melaungkan kemerdekaan pertama iaitu bulan Ogos. Lebih menarik, pihak kerajaan mengambil langkah bijak dengan mengadakan kempen tersebut di pusat membeli belah yang sudah tentunya mendapat perhatian daripada masyarakat muda dasawarsa. Antara aktiviti yang diadakan iaitu pameran makanan yang menawarkan kemudahan bagi pihak pengunjung untuk mengetahui sejarah dan asal usul makanan tersebut serta turut merasa makanan tersebut. Seterusnya, pengunjung yang terpesona dengan hidangan tersebut dapat membeli makanan itu dengan serta merta di tempat tersebut. Hal ini dapat memperkenalkan makanan tradisional kepad pengunjung terutamanya masyarakat tempatan sekaligus meningkatkan ekonomi negara.
Seperti kata pepatah, masakan pokok bergoyang kalau tiada angin, golongan muda haruslah berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk membuahkan hasil yang lumayan iaitu keberkesanan aktiviti tersebut dalam meningkatkan perasaan cinta akan negara dalam diri sendiri. Golongan muda Malaysia haruslah melibatkan diri sepenuhnya dalam pelbagai aktiviti dan program kenegaraan untuk menyemai perasaan cinta terhadap negara Malaysia. Seiring dengan itu, Malaysia juga dapat melahirkan penyambung warisan dalam memperjuangkan kemerdekaan dan mengekalkan warisan negara agar tidak lenyap ditelan zaman. Malaysia: Di Sini Lahirnya Cinta. Malaysia, di sinilah bermulanya perjalanan sebuah kelahiran. Malaysia, di sini lahirnya perjalanan sebuah pengembaraan hidup. Malaysia, tanah tumpahnya darahku, ku ikrar padamu di sini akan matinya satu kebencian dan di sini akan lahirnya sebuah cinta.