Friday, 31 May 2019

Langkah MENGATASI GEJALA SOSIAL Dalam Kalangan Remaja

Gejala sosial semakin menjadi-jadi, terutamanya dalam tahun 2019. Jelaskan langkah-langkah mengatasi gejala sosial dalam kalangan remaja.

Karya pena: Arreen anak Savlan | Instagram


[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.


Remaja melibatkan diri dalam pelbagai gejala sosial termasuklah pergaulan bebas, pembuangan bayi.


"Hal ini demikian untuk memudahkan luahan perasaan dan masalah sesama pelajar kerana sesetengah remaja berasa tidak selesa untuk berkongsi masalah dengan orang yang lebih dewasa."


Marcapada, kita seringkali disajikan dengan gejala-gejala sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan remaja. Gejala-gejala sosial telah acapkali dipertontonkan pada dada-dada akhbar dan diperdengarkan di corong-corong radio. Siapakah yang harus dipersalahkan? Tepuk dada, tanya selera. Dengan adanya prasarana yang tersergam indah di mata dan globalisasi menerobos ke seantero dunia, pihak ibu bapa zaman sekarang kian mengabaikan anak-anak mereka sehinggakan mereka tidak mempunyai tempat mengadu dan boleh mengakibatkan mereka tersalah pilih kawan dan akhirnya melibatkan diri dalam pelbagai gejala sosial termasuklah pergaulan bebas, pembuangan bayi dan penyalahgunaan dadah. Persis slogan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, remaja merupakan harapan negara dan langkah-langkah proaktif perlulah diambil oleh pelbagai pihak untuk mengelakkan gejala-gejala sosial terus menular.



Usaha yang perlu diambil oleh pihak ibu bapa untuk mengelakkan berlakunya gejala sosial dalam kalangan remaja iaitu memberi didikan yang selengkapnya kepada anak-anak mereka. Peranan ibu bapa dalam mengelakkan para remaja daripada terlibat dalam gejala-gejala sosial amatlah penting kerana anak diibaratkan seperti kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Ungkapan ini bermaksud anak-anak dilahirkan ke dunia ini tanpa mengetahui apa-apa, mana yang baik dan mana yang buruk. Oleh itu, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk membentuk keperibadian anak-anak mereka. Adalah sewajarnya untuk ibu bapa untuk melengkapkan diri anak-anak mereka dengan ilmu duniawi dan untuk bekalan akhirat kelak. Ibu bapa haruslah mengambil langkah berjaga-jaga kerana mencegah lebih baik daripada merawat dengan mendedahkan anak-anak mereka kepada keburukan gejala sosial agar mereka akan menghindarkan diri daripada terlibat dalam gejala sosial. 


Ibu bapa haruslah meluangkan lebih banyak masa bersama dengan anak-anak mereka agar anak-anak mereka tidak merasa diri mereka keseorangan dan sentiasa mempunyai individu yang menyokong dan mampu memberi motivasi kepada mereka tatkala mereka mempunyai masalah. Tamsilnya, pada hujung minggu, ibu bapa bolehlah membawa anak-anak mereka untuk menghadiri tazkirah-tazkirah di masjid dan kempen-kempen kesedaran mengenai padah gejala sosial. Hal ini demikian agar mereka lebih berilmu dan tidak mudah dipengaruhi dengan pengaruh tidak sihat. Intihanya, pihak ibu bapa haruslah turun padang untuk mendidik anak mereka agar tidak melibatkan diri dalam gejala-gejala sosial.


Selain itu, pihak sekolah juga haruslah mengambil inisiatif yang kukuh untuk mengelakkan golongan remaja daripada terlibat dalam gejala-gejala sosial yang makin menular di Malaysia. Pihak sekolah haruslah mempergiatkan kelab yang boleh membawa golongan remaja kepada jalan yang benar, misalnya kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Seperti yang kita sedia maklum, setiap sekolah telah diwajibkan oleh Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan kelab PRS yang disertai oleh pelajar sekolah masing-masing. Hal ini demikian untuk memudahkan luahan perasaan dan masalah sesama pelajar kerana sesetengah remaja berasa tidak selesa untuk berkongsi masalah dengan orang yang lebih dewasa. Kelab PRS juga boleh mengadakan pelbagai aktiviti dan program bulanan untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh pelajar yang stress dengan pelajaran mahupun masalah keluarga. 


Tamsilnya, program Minggu Aktiviti yang diadakan setiap 6 bulan selama seminggu di sekolah berasrama penuh, MRSM di mana pelajar hanya akan menjalankan pelbagai aktiviti dan tidak perlu belajar secara formal selama seminggu. Pihak sekolah juga boleh mewajibkan setiap pelajar untuk mengikuti sesi kaunseling di sekolah agar pihak kaunselor sekolah boleh lebih dekat dengan pelajar dan mengenali mereka dengan lebih mendalam. Hal ini demikian agar pihak kaunselor boleh bertindak lebih awal sekiranya menghidu sebarang masalah yang berlaku dalam kalangan pelajar sebelum nasi menjadi bubur. Tuntasnya, pihak sekolah haruslah mempergiatkan kelab PRS dan mewajibkan setiap pelajar untuk mengikuti sesi kaunseling sebagai langkah yang proaktif untuk mengelakkan pelajar daripada melibatkan diri dalam gejala-gejala sosial.


Di samping itu, pihak media massa juga memainkan peranan penting dalam mengatasi gejala sosial dalam kalangan remaja terutamanya dalam zaman yang semuanya terletak di hujung jari. Tidak dapat disangkalkan lagi bahawa pengguna media massa seperti media cetak dan media elektronik di Malaysia telah meningkat saban tahun ibarat cendawan tumbuh selepas hujan terutamanya media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram. Oleh yang demikian saluran media massa haruslah dimanfaatkan untuk menjadi penyebar ajaran yang positif. Sebagai contoh, siaran yang memaparkan kejayaan remaja haruslah ditonjolkan di media untuk dijadikan motivasi bagi remaja yang lain. Filem-filem juga haruslah ditapis dengan sebaiknya kerana remaja cenderung untuk mengidolakan barisan pelakon seterusnya terikut-ikut dengan watak mereka. Watak antagonis haruslah dikurangkan serta filem-filem yang disiarkan haruslah menonjolkan nilai murni yang tinggi yang boleh memberi impak yang mendalam serta memberi kesedaran kepada remaja Malaysia. Media sosial juga seharusnya meningkatkan had umur masyarakat untuk menggunakan media sosial. Hal ini demikian kerana sesetengah golongan muda masih tidak matang pemikirannya dan kurang bijak untuk membezakan yang mana baik dan buruknya. Sebagai contoh, media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram bolehlah meningkatkan umur penggunanya kepada 18 tahun bagi melayakkan mereka untuk mendaftar akaun mereka. Deduksinya, media massa mampu untuk membanteras gejala sosial yang berlaku dalam galangan remaja sehingga ke peringkat akar umbinya sekiranya dimanfaatkan seeloknya.


Pihak kerajaan sebagai penggubal undang-undang juga memainkan peranan yang penting dalam membantutkan penularan gejala sosial dalam kalangan remaja. Pihak kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang yang melibatkan remaja bawah umur. Misalnya, meningkatkan denda dan memberikan hukuman yang lebih berat kepada pesalah. Hal ini demikian untuk menginsafkan mereka agar tidak mengikut kehendak isi hati tanpa memikirkan kesan baik buruknya ibarat beraja di hati, bersultan di mata sekaligus berkayuh sambil bertimba untuk memberi kesedaran kepada remaja lain untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama. Pihak kerajaan boleh meningkatkan disiplin diri remaja dengan mewajibkan semua remaja untuk mengikuti program berbentuk kenegaraan seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di mana salah satu objektif pelaksanaannya adalah untuk membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. Pelbagai modul akan diperkenalkan sepanjang PLKN yang boleh membentukan nilai luhur dalam diri remaja dan meningkatkan perasaan sayang terhadap diri sendiri supaya lebih menghargai diri sekaligus mengelakkan daripada melakukan gejala negatif. Izharnya, pihak kerajaan haruslah bertindak dengan lebih proaktif kerana mereka merupakan tunjang utama dan tulang belakang yang bakal membentuk keperibadian masyarakatnya.


Kini, sudah terang lagi bersuluh bahawa gejala sosial dalam kalangan remaja bolehlah diatasi sekiranya semua pihak termasuklah pihak ibu bapa, sekolah, media massa dan pihak kerajaan berganding bahu ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah dalam melaksanakan bahagian masing-masing. Masalah ini haruslah ditangani secepatnya supaya kita tidaklah sudah terhantuk baru tengadah kerana remaja merupakan aset negara masa hadapan. Sekiranya bukan sekarang, bila lagi? Sekiranya bukan kita, siapa lagi? Tepuk dada, tanya selera.




4 comments:

  1. mantappp boiiii

    ReplyDelete
  2. Banyak peribahasa menjadi karangan yg bagus.

    ReplyDelete
  3. Karangan ni mantap..:).

    ReplyDelete
  4. Karangan ni mantap!!saya suka baca..

    ReplyDelete

Adakah kualiti karanganpanas mantap? Perlukan contoh karangan? Nyatakan di sini!