Friday, 31 May 2019

Langkah Mengatasi PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Polemik pencemaran alam tidak lekang daripada bibir masyarakat. Jelaskan langkah-langkah mengatasi pencemaran alam sekitar.

Karya Pena: Arreen anak Savlan | Instagram

[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.


Dunia alam semakin berubah kepada dunia teknologi.
"Kadangkala info berkaitan alam sekitar di dalam buku teks agak ketinggalan dan tidak relevan dengan realiti masa sekarang yang kian menyebabkan ramai pihak tidak senang duduk akibat pencemaran alam sekitar yang berterusan."

Tatkala negara sedang memacu ke arah Wawasan 2020 yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada suatu ketika dahulu, bumi kian menjadi mangsa dalam arus pemodenan dek kerana sifat tidak bertanggungjawab masyarakat seantero dunia. Acapkali dipertonton di dada-dada akhbar dan diperdengar di corong-corong radio mengenai pencemaran alam sekitar yang kian membimbangkan pelbagai pihak sama ada dalam aspek kesan masa pendek mahupun masa panjang. Sebelum kapas menjadi benang, pelbagai pihak terutamanya masyarakat dan pihak kerajaan haruslah berganding bahu bak kata pepatah bukit sama didaki, lurah sama dituruni dalam mengambil usaha yang lebih proaktif dan efektif dalam mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.


Usaha untuk mengatasi pencemaran alam sekitar haruslah bermula daripada pihak ibu bapa. Hal ini demikian sebab ibu bapa merupakan individu terdekat kepada anak-anak mereka dan merekalah yang bertanggungjawab untuk mendidik anak mereka agar lebih menyayangi dan mengambil berat terhadap alam sekitar. Sesuai dengan peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya, ibu bapa haruslah mendedahkan anak-anak mereka kepada kepentingan serta tanggungjawab mereka dalam menjaga alam sekitar semenjak dari kecil lagi. Namun demikian, ibu bapa juga haruslah menunjukkan contoh yang baik dalam menjaga alam sekitar kepada anak-anak mereka dan bukanlah hanya sekadar omongan kosong agar ajaran mereka tidak diibaratkan seperti mencurah air kepada daun keladi. Misalnya, ibu bapa haruslah membawa anak-anak mereka pergi ke kempen-kempen berkaitan dengan alam sekitar serta menyokong segala inisiatif kerajaan untuk melestarikan alam sekitar, misalnya cabaran Earth Hour di mana masyarakat seluruh dunia haruslah menutup lampu rumah mereka selama sejam bertujuan untuk membangkitkan kesedaran ke atas perubahan iklim. Tuntasnya, ibu bapa haruslah memainkan peranan mereka dengan lebih proaktif untuk memastikan anak-anak mereka lebih memahami berkaitan dengan alam sekitar.


Selain itu, pihak sekolah juga haruslah berusaha dengan gigih untuk mengatasi pencemaran alam sekitar. Seperti yang kita tahu, sekolah merupakan tempat di mana pelajar datang untuk menimba ilmu pengetahuan dan bagi sesetengah pelajar, mereka lebih banyak meluangkan masa di sekolah berbanding di rumah, terutamanya pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan yang besar misalnya UPSR, PT3 dan SPM. Hal ini demikian menyebabkan pihak sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam menanamkan sifat sayang akan alam sekitar dalam diri para pelajar. Antara langkah yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah termasuklah mengadakan kempen kesedaran mengenai alam sekitar dan menyambut Minggu Alam Sekitar. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan seperti pertandingan mengumpul bahan kitar semula terbanyak antara kelas dan pertandingan menulis esei mengenai alam sekitar.

Sudah terang lagi bersuluh dan tidak boleh dinafikan bahawa pertandingan seperti ini mampu meningkatkan kesedaran para pelajaran mengenai tanggungjawab mereka dalam menjaga alam sekitar. Hal ini demikian sebab aktiviti seperti ini memerlukan mereka untuk turun padang sendiri untuk mengumpul bahan kitar semula mahupun menjalankan penyelidikan yang mendalam mengenai alam sekitar untuk membolehkan mereka menulis esei yang mantap. Pihak sekolah juga haruslah bekerjasama dengan Pihak Kementerian Pelajaran untuk menekankan isu berkaitan alam sekitar dalam silibus pelajaran sama ada sekolah rendah mahupun menengah bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar dalam kalangan pelajar. Misalnya, Pihak Kementerian Pelajaran bolehlah menekankan perihal alam sekitar dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan serta Pendidikan Moral dengan memperbanyakkan topik mengenai alam sekitar serta sentiasa mengemas kini info berkaitan alam sekitar yang kian membimbangkan. Hal ini demikian kerana kadangkala info berkaitan alam sekitar di dalam buku teks agak ketinggalan dan tidak relevan dengan realiti masa sekarang yang kian menyebabkan ramai pihak tidak senang duduk akibat pencemaran alam sekitar yang berterusan. Deduksinya, pihak sekolah haruslah mengambil inisiatif yang mantap dan berkesan untuk bersama membantu pihak kerajaan untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.


Di samping itu, pihak kerajaan memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha mengatasi pencemaran alam sekitar kerana mereka merupakan tunjang utama pemerintahan dan tulang belakang negara. Pihak kerajaan tidak sepatutnya menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul yang hanya bijak bermain kata-kata dalam menasihatkan masyarakatnya untuk menjaga alam sekitar namun tidak mengambil apa-apa inisiatif untuk mengatasi pencemaran alam sekitar sebagai salah satu pihak yang terpenting dalam negara. Pihak kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang untuk menangani masalah yang diibaratkan sebagai duri dalam daging negara yang sedang membangun. Misalnya, dalang di sebalik tragedi Sungai Kim Kim yang bermula dengan pencemaran air dan diikuti oleh pencemaran udara haruslah dijatuhkan hukuman yang sangat berat kerana bukan sahaja mencemarkan alam sekitar sehinggakan sebilangan besar sungai-sungai di Johor dikategorikan sebagai pencemaran teruk dan tiada hidupan akuatik yang boleh hidup di dalamnya, namun juga membahayakan masyarakat yang terhidu gas beracun sehingga dikejarkan ke hospital. Pihak kerajaan haruslah menjatuhkan hukuman yang berat kepada pihak yang bagaikan enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing termasuklah hukuman penjara dan hukuman denda yang tinggi agar boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat yang lain agar tidak mengulangi kesalahan tersebut. Konklusinya, pihak kerajaan memainkan peranan yang penting dalam menguatkuasakan akta dan undang-undang alam sekitar untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.



Dalam dunia yang kian tiada penghujungnya, pendedahan media massa juga amat penting dalam usaha mengatasi pencemaran alam. Tidak dapat disangkal lagi bahawa media massa memainkan peranan dalam mempengaruhi pemikiran para pengguna. Oleh yang demikian, media massa termasuklah media cetak dan media elektronik kini haruslah memberi maklumat tentang isu-isu pencemaran alam sama ada puncanya mahupun akibatnya dan cara mengatasinya. Pihak media massa seharusnya tidak hanya mementingkan ekonomi mereka dan mengamalkan konsep siapa gua, siapa lu dengan hanya menyiarkan hiburan semata-mata. Malah, mereka haruslah memperbanyakkan siaran televisyen mahupun seksyen pada dada-dada akhbar mengenai alam sekitar agar masyarakat lebih peka mengenai tanggungjawab mereka dalam menjaga Bumi kita. Izharnya, pihak media massa haruslah memanfaatkan kebolehnnya dalam menyebarkan maklumat kepada pengguna media massa yang kian meningkat saban hari ibarat cendawan tumbuh selepas hujan untuk terus-menerus mengingatkan mereka untuk menjaga alam sekitar.



Kesimpulannya, terdapat banyak langkah yang boleh diambil untuk mengatasi pencemaran alam sekitar di negara kita. Sudah terang lagi bersuluh, sesuatu yang positif haruslah kita amalkan manakala yang negatif pula haruslah kita hindari. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk melestarikan kembali alam sekitar kita. Usaha yang berterusan dan mantap dalam mengatasi pencemaran alam sekitar boleh memajukan negara kita dengan lebih progresif untuk menjadikan negara kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi setanding dengan negara-negara maju yang lain umpama sambil menyelam minum air. 

1 comment:

Adakah kualiti karanganpanas mantap? Perlukan contoh karangan? Nyatakan di sini!