Penyakit demam denggi yang berpunca daripada nyamuk aedes merupakan ancaman yang membimbangkan negara. Huraikan faktor-faktor yang menyebabkan merebaknya penyakit ini dan langkah-langkah bagi menanganinya.
[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.
Penyakit demam denggi meragut ribuan nyawa setiap tahun |
"Perkara ini berlaku kerana terdapat individu-individu yang sanggup menggadaikan nyawa masyarakat semata-mata untuk mengaut keuntungan"
“Kemajuan merupakan kata yang merdu. Tetapi perubahanlah penggeraknya dan perubahan mempunyai banyak musuh.” Memetik kata-kata nukilan Robert F Kennedy, abang mantan Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy jelas membuktikan bahawa kemajuan sesebuah Negara mempunyai kesan sampingannya sendiri. Hal ini jelas dibuktikan apabila wabak denggi merebak secara meluas di negara kita semasa negara kita pesat membangun. Dalam mengharungi rentak komodenan, persiapan-persiapan untuk menangani pelbagai kemelut harus dibentangkan. Sesungguhnya, kemelut demam denggi seyogianya dibendung dari akar umbi lagi. Namun demikian, kekangan ini telah bertambah ruwet, seperti kudis menjadi tokak, apabila meragut banyak nyawa setiap hari, dan yang lebih membimbangkan, angka kematian terus meningkat. Hal ini menjadi gunting dalam lipatan dan berpotensi untuk membantutkan kemajuan negara kita jika tidak terkawal. Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan merebaknya penyakit ini dan apakah langkah-langkah bagi menanganinya?
Sebagai mukadimah perbincangan, mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2014, wabak denggi berpunca daripada persekitaran yang kotor. Rakyat Malaysia, terutamanya penduduk bandar semakin berfikiran individualistik dan mementingkan diri sendiri, bak kata peribahasa enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Sikap ini menjejaskan kebersihan persekitaran serta kekotoran dan sampah sarap harus dibayar kepada alam. Bekas-bekas plastik serta polisterin dibuang di merata tempat tanpa berfikir dua kali. Masyarakat yang kononnya sibuk tidak sanggup mencari tong sampah dan tidak mempedulikan sikap mereka walhal mengetahui kesannya. Sikap tidak mengendahkan ini semakin menular dalam kalangan kita sehingga menjadi satu fenomena yang tidak aneh lagi. Sampah sarap yang dapat menakung air pula akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes yang menyebabkan demam denggi. Jika sesebuah kawasan bertambah kotor dan penuh dengan sampah-sarap, sudah tentu orang ramai tidak memandangnya, apatah lagi membersihkannya. Tegasnya, persekitaran yang kotor merupakan salah satu faktor merebaknya demam denggi kerana pembiakan nyamuk aedes semakin menjadi-jadi.
Sebagai lontaran idea kedua, kekurangan kesedaran masyarakat merupakan antara penyumbang polemik ini. Masyarakat yang kurang kesedaran tidak mengetahui kesan buruk demam denggi dan kesan-kesan membuang sampah di merata tempat. Mereka tidak peka terhadap kempen-kempen yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga NGO. Sesungguhnya, kempen ini bertujuan untuk menerangkan demam denggi, nyamuk aedes, cara penyelesaian dan sebagainya. Namun demikian, usaha ini bagai mencurah air ke daun keladi kerana sikap masyarakat yang tidak mempedulikannya, bak kata pepatah masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Mereka bersikap tunggu dan mengalaminya terlebih dahulu dan selepas itu barulah mereka berlari ke sana sini untuk mengubatinya. Masyarakat yang tidak mengambil kisah ini juga tidak membersihkan persekitaran rumah mereka jika tidak disuruh membuat demikian, persis kata mutiara, seperti pahat dengan penukul. Mereka menganggap penyakit ini remeh dan boleh mudah lantas mengabaikan penyakit ini. Izharlah bahawa kempen-kempen ini tidak mencapai objektifnya kerana sikap masyarakat yang memandang enteng terhadap demam denggi.
Jika dilihat dari perspektif yang berbeza, faktor petempatan juga menjadi punca merebaknya demam denggi. Kawasan bandar yang sesak dengan jaringan pengangkutan yang padat serta bangunan-bangunan pencakar langit yang dibina bagai cendawan selepas hujan telah menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes. Berbanding dengan persekitaran di kampung, kawasan bandar lebih mengutamakan kepantasan perhubungan. Kebanyakan lubang-lubang saliran air dan sistem saliran bawah tanah tidak diperiksa atau dibuat hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Tempat-tempat ini menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes dan kesannya, wabak demam denggi semakin berleluasa. Kekangan ini bertambah buruk kerana sikap manusia yang rakus mengejar dunia materialistik. Sistem perparitan dan saliran tidak dibina dengan baik untuk mengurangkan kos pembinaan. Hal ini menyebabkan sistem saliran mudah tersumbat menyebabkan air bertakung dan yang lebih teruk lagi banjir kilat yang memudahkan penyebaran demam denggi. Perkara ini berlaku kerana terdapat individu-individu yang sanggup menggadaikan nyawa masyarakat semata-mata untuk mengaut keuntungan.
No comments:
Post a Comment
Adakah kualiti karanganpanas mantap? Perlukan contoh karangan? Nyatakan di sini!