Monday, 10 June 2019

Faktor Dan Langkah Menangani DEMAM DENGGI (Part 2)


[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.


Meninjau isi ini dari dimensi berlainan, kerajaan sebagai jentera pentadbiran negara dan juga penawar mujarab harus memikul tanggungjawab untuk melancarkan beberapa dasar serta menguatkuasakan undang-undang. Hal ini penting untuk menangani masalah kekotoran dan menguruskan pembuangan sampah dengan lebih sistematik lagi. Kerajaan perlu mengenakan denda yang lebih tinggi dan tegas mengambil tindakan bagi mengelakkan orang yang tidak bertanggungjawab daripada kancah denggi. Selain itu, penguatkuasaan undang-undang dapat menginsafkan rakyat dan sekaligus menyuntik sikap bertanggungjawab dalam nukleus masyarakat. Sikap bertanggungjawab ini dapat mengubah corak pemikiran orang ramai supaya menjadi seseorang insan yang sedar akan kesihatan mereka. Rentetan itu, pemeriksaan-pemeriksaan wajar diadakan secara giat lagi di kawasan perumahan mahupun pembandaran. Tempat-tempat yang didapati menjadi sarang nyamuk aedes perlu disita dan dibersihkan. Ingatlah bahawa mencegah lebih baik daripada mengubati. 



Sementelahan itu, media massa juga perlu memainkan peranan mereka kerana pada era ini, media massa menerajui tampuk kehidupan masyarakat khususnya belia. Media massa bercetak mahupun elektronik perlu membincangkan langkah-langkah mencegah penyebaran wabak denggi misalnya dengan mengadakan gotong-royong membersihkan rumah pada setiap hujung minggu. Di samping itu, kerajaan boleh mempertimbangkan alternatif penyiaran iklan, ilustrasi menarik atau kartun di media massa yang bersifat deduktif seperti menyampaikan mesej tentang kepentingan kesedaran mencegah wabak denggi. Misalnya, usaha ini telah dipelopori oleh RTM dan rancangan iklan seperti iklan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Iklan ini menceritakan tentang seorang anak yang cuba menerangkan keburukan air bertakung kepada ibunya. Ibunya tidak mempedulikannya dan akhirnya menangis di pintu ICU apabila melihat anaknya yang hidup nyawa-nyawa ikan. Iklan yang berslogan ‘Tidak peduli?, Maut menanti!’. Ini jelas menunjukkan keburukan demam denggi dan mampu menginsafkan diri kita untuk berubah. Kesimpulannya, media massa yang berperanan sebagai penggerak kemajuan hendaklah, menyedarkan rakyat akan penyakit denggi sebelum nasi menjadi bubur. 



Akhirulkalam, semua pihak terutamanya ibubapa sebagai tonggak institusi keluarga bersama-sama pihak kerajaan dan media massa hendaklah menggembleng tenaga bagai aur dengan tebing untuk membendung penyakit demam denggi lantaran bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Alexander Graham Bell pernah menukilkan kata-kata bahawa “Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi. Namun kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian tertutup terlalu lama sehingga tidak menyedari pintu lain yang sudah terbuka.” Justifikasi daripada ini, semua pihak hendaklah meluaskan horizon pemikiran dalam mencari akal ajar dapat mengelakkan wabak denggi daripada terus menular supaya masyarakat sering dihembusi bayu kesejahteraan. Pepatah melayu ada mengatakan ingat sebelum kena, jimat sebelum habis kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Justeru, polemik demam denggi perlulah dipandang serius dan langkah-langkah afdal hendaklah diambil bagi mengelakkan kepincangan kepada watan pada muka hari. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah masyarakat di Malaysia terus berdiri teguh dan bebas daripada belenggu denggi walaupun jua rintangan yang dihadapi. 

No comments:

Post a Comment

Adakah kualiti karanganpanas mantap? Perlukan contoh karangan? Nyatakan di sini!