Monday, 10 June 2019

Faedah-Faedah Menyertai Program MOTIVASI

Setiap tahun sekolah anda menganjurkan pelbagai program motivasi dan anda sering terlibat dalam program-program tersebut. Berikan pendapat anda tentang faedah-faedah menyertai program motivasi.

Soalan dipetik daripada: SPM 2012 – Soalan 1

[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.


Program Motivasi membina semangat berkobar-kobar dalam jiwa remaja



"Menurut seorang ahli fizik terkemuka, Sir Isaac Newton, beliau mengatakan bahawa memerhati, mengetahui dan memahami adalah lebih penting berbanding dengan menghafal bulat-bulat sesuatu."


Program motivasi dapat ditakrifkan sebagai kem atau bengkel untuk menyemai semangat yang kental, kerajinan dan tidak mudah putus asa. Saban hari, polemik pelajar sekolah yang cenderung akan gejala negatif seperti melepak sering terpampang pada dada akhbar harian. Lebih membimbingkan lagi, kemelut ini tidak asing lagi malah dipelopori oleh pihak media massa. Remaja sedemikian dikatakan kurang bermotivasi sehingga terjerumus ke kancah kelaknatan. Menyedari hakikat tersebut, pihak sekolah telah mengatur beberapa langkah pragmatik sebelum kudis menjadi tokak. Salah satu daripadanya ialah penganjuran program motivasi terutamanya pada cuti sekolah yang mampu memberikan seribu satu manfaat terhadap pelajar. 




Sebagai mukadimah perbincangan, program motivasi dapat memberi faedah serampang dua mata, iaitu memupuk semangat untuk belajar dan mengikis sifat malas. Fasilitator-fasilitator yang berpengalaman tersebut akan memberi tunjuk ajar serta beberapa tip supaya pelajar tidak kehilangan motivasi mereka. Motivasi diibaratkan seperti hala tuju atau wawasan pelajar, dan jika motivasi mereka meluntur, nescaya kehidupan mereka seperti layang-layang putus talinya. Salah satu strategi menguatkan semangat ialah dengan menggenggam pada kata-kata semangat seperti ‘saya boleh’, ‘saya pasti berjaya’ dan sebagainya. Frasa-frasa sedemikian mampu memberi dorongan supaya melipatgandakan usaha dalam pelajaran. Selain itu, kata-kata hikmat seperti ‘Jangan berehat apabila letih, berehat setelah selesai’, mampu menusuk semangat tidak berputus asa jauh dalam lubuk kalbu mereka. 



Sebagai lontaran idea kedua, program motivasi dapat mendedahkan pelajar kepada kehendak soalan atau peperiksaan. Mereka akan diajar teknik pembelajaran yang efisien untuk menjimatkan masa memandangkan masa itu emas. Sebagai tamsilan, daripada menghafal isi dalam mata pelajaran sejarah, lebih baik pelajar memahaminya kerana peperiksaan hanya menguji kefahaman itu. Menurut seorang ahli fizik terkemuka, Sir Isaac Newton, beliau mengatakan bahawa memerhati, mengetahui dan memahami adalah lebih penting berbanding dengan menghafal bulat-bulat sesuatu. Ini terbukti apabila beliau mencipta teori graviti daripada memahaminya. Selain itu, pelajar juga akan diajar cara membuat jadual belajar supaya tidak berasa bosan mengulangkaji. Sebagai tamsilan, mata pelajaran yang susah belajar pada waktu pagi kerana badan masih aktif dan minda masih cerdas. 



Jika ditelusuri secara mendalam, program-program motivasi berupaya menyulam nilai-nilai murni dalam sanubari remaja. Remaja yang berpendapat bahawa belajar sedikit setiap hari tidak berguna sudah tentu jauh ketinggalan berbanding dengan seorang yang rajin. Program motivasi mengajar nilai-nilai murni seperti kerajinan, sabar dan berusaha gigih, persis kata mutiara, genggam bara api biar sampai jadi arang, dan alang-alang pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Nilai-nilai sedemikian serta berfikiran positif dapat mengelakkan watan daripada berasa takut, panik atau bergentar semasa menduduki pelajaran. Selain itu, persediaan fizikal dan mental seperti bersenam serta beriman menyediakan seseorang berteraskan sifat yang syumul dan bersedia. Secara tidak langsung, nilai-nilai murni dapat mengelakkan sikap segelintir remaja yang “menyumbat” isi sehari sebelum peperiksaan menjelang. 



Rentetan itu, mengikuti program motivasi dapat mengelakkan pembaziran masa, terutamanya semasa cuti persekolahan. Ramai pelajar mengatakan bahawa cuti terlalu pendek dan perlu ditambahkan harinya, namun mereka tidak sedar bahawa tidak ramai yang memanfaatkan masa. “Jika saya mempunyai masa sebanyak lapan untuk memotong pokok, saya akan gunakan enam jam mengasah kapak saya”. Memetik kata-kata mantan presiden Amerika, John F. Kennedy jelas menerangkan kepentingan pengurusan masa. Para pelajar yang diberikan cuti penggal akan membazirnya dengan alasan cuti adalah untuk berehat. Mereka muda terjerumus dalam kegiatan tidak berfaedah seperti melepak, menonton rancangan hiburan dan sebagainya dan lebih teruk lagi jika terjebak dalam gejala sosial. Jika mereka mengikuti program motivasi pula, mereka akan menggunakan masa mereka sebaik mungkin serta menimba seribu satu kemaslahatan, bak kata peribahasa, sambil menyelam minum air. 



Akhirulkalam, bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa program motivasi dapat memberikan impak yang positif dalam membentuk diri pelajar. Motivasi dikatakan sebagai pendorong utama dan merupakan wadah yang efektif untuk para pelajar untuk mengasah kemahiran diri dan dapat bersaing dengan pelajar lain, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Sudah terang lagi bersuluh bahawa program motivasi seyogianya diteruskan dan diatur dengan lebih menarik supaya dapat sambutan hangat. Semangat yang dapat diberikan oleh motivasi yang kuat dapat digambarkan dalam serangkap lirik lagu Gemuruh Jiwa, nyanyian Faizal Tahir khas untuk Sukma XI di Perlis; 



Gemuruh jiwa, semangat membara, 
Dari puncak ingin ke angkasa, 
Berkalungkan bintang berkelipan, 
Menyerlah jauh dari yang biasa. 


Justeru, semangat kental yang utuh amat penting bagi melahirkan generasi berkaliber lantas pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semoga program motivasi dapat menyumbang kepada merealisasikan visi kudsi Bapa Pemodenan dan bukan sekadar angan-angan Mat Jenin, lantas Wawasan 2020 dapat digamit.

2 comments:

Adakah kualiti karanganpanas mantap? Perlukan contoh karangan? Nyatakan di sini!