Masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja pada masa kini semakin kritikal. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, namun masih belum menampakkan hasil yang diingini. Nyatakan punca-punca dan cadangkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.
[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.
Remaja pada era pascakolonial ini amat berbeza dengan dahulu |
"Anak- anak berasa terabai dan bebas melakukan perkara-perkara negatif di luar pengetahuan ibu bapa."
“Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu”, memetik kata-kata nukilan Nabi Muhammad SAW jelas menerangkan kepentingan akhlak yang murni serta akidah yang mulia. Remaja pada era pascakolonial ini amat berbeza dengan dahulu, dan watan mendepani kepincangan yang sinonim dengan keruntuhan akhlak. Kemelut ini semakin membarah dan telah menjadi topik perbincangan di kedai-kedai kopi sehingga dibahaskan di parlimen. Walaupun pelbagai formula telah dilakukan namun kemelut ini tidak dapat dibendung dan diibaratkan seperti mencurahkan air ke daun keladi. Persoalannya, apakah punca-punca kekangan ini dan apakah langkah-langkah yang seyogianya dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini?
Sebagai mukadimah perbincangan, pada usia remaja ini remaja mengalami krisis identiti dan tercari-cari identiti diri mereka. Dalam pada itu sesetengah remaja yang tidak dapat menongkah keburukan terjebak dengannya, lantas masalah sosial berakar. Justeru, punca keruntuhan akhlak dapat dikaitkan dengan sikap remaja yang suka mencuba perkara baharu. Daripada mula ponteng sekolah, mereka mula berjinak-jinak dengan rokok dan diakhiri pula dengan najis dadah. Pengaruh merempit, melepak dan sebagainya turut mencari tempat dalam diri mereka. Hal ini demikian kerana remaja yang berumur setahun jagung, darah setampuk pinang mudah terpengaruh dan tidak dapat membezakan anatara kaca dengan permata. Misalnya, ketaksuhan melihat adegan-adegan perlumbaan motor dalam filem seperti KL Gangster, Fast and Furious series dan sebagainya mendorong remaja melibatkan diri dalam perlumbaan haram. Ungkapan ikut hati mati, ikut rasa binasa langsung tidak dihiraukan. Selain itu, mereka lebih tertarik dengan visi rakan sebaya yang boleh menjahanamkan diri mereka. Justeru, sikap ingin mencuba bersertakan pengaruh anasir luar mampu menumbangkan watan ke lembah kelaknatan.
Sebagai lontaran idea kedua, kegagalan institusi keluarga dalam membentuk sahsiah anak-anak turut menjadi punca keruntuhan akhlak remaja. Institusi keluarga khususnya ibu bapa merupakan insan terdekat dan bertanggungjawab membentuk akhlak yang mulia. Sayang, seribu kali sayang kebanyakan, ibu bapa mengabaikan tanggungjawab mereka dalam mengejar dunia materialistik. Mereka terpaksa bekerja berlebihan dan bertungkus-lumus mencari nafkah lantas kos sara hidup yang tinggi di bandar. Akibatnya, mereka kekurangan masa untuk mengawal akhlak anak-anak, apatah lagi memantau pergerakan mereka. Malahan jarang ibu bapa yang berhubung dengan pihak sekolah untuk mengetahui tingkah laku mereka di sekolah. Selain itu, remaja yang membesar dalam keluarga yang porak-peranda dan sentiasa bertelingkah mendorong kepada masalah emosi mereka. Mereka lebih cenderung lari dari rumah dan beralih kepada rakan sebaya daripada berada di rumah. Anak- anak berasa terabai dan bebas melakukan perkara-perkara negatif di luar pengetahuan ibu bapa. Ibarat mengajar anak ketam berjalan betul jika kepincangan dalam keluarga ditunjukkan oleh ibu bapa, maka pincang jugalah anak-anak.
Jika telusuri secara mendalam, langkah-langkah yang ampuh lagi bersepadu perlu diambil memandangkal watan yang bakal menerajui tampuk pentadbiran negara. Bagaimanakah jika nusa tercinta aman dan makmur ini dipimpin oleh remaja yang terlibat dengan seribu satu masalah sosial? Hakikatnya, institusi keluarga seyogianya memainkan peranan mereka. Mereka harus sedar bahawa lingkungan belasar tahun remaja perlu digunakan sebaik mungkin. Masa keemasan itu perlu digunakan untuk melengkapi remaja dengan nilai-nilai murni dan menghiasi diri mereka dengan budi bahasa yang luhur. Ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya, ibu bapa harus mengawal tindak-tanduk cahaya mata mereka sejak mereka merah tapak kakinya lagi. Ibu bapa pula hendaklah berperangai positif kerana merekalah idola anak-anak peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya wajar diingati ibu bapa bahawa segala tindak-tanduk mereka menjadi teladan kepada anak, bak kata peribahasa, bapa borek anak rintik. Remaja juga perlu dilengkapi dengan pegangan agama kerana agama merupakan senjata ampuh untuk menangkis anasir-anasir luar.
Dalam perspektif berbeza, pihak media massa juga perlu memainkan peranan mereka sebagai pendidik dan bukannya sebagai pemusnah remaja. Setiap rancangan yang disajikan kepada penonton wajar ditapis mengikut standard penapisan sebelum ditayangkan. Kegagalan membuat demikian harus dikenakan hukuman berat oleh Kementerian Penerangan. Filem-Filem Barat yang memaparkan adegan seperti tembak-menembak, perlumbaan haram, pergaulan bebas dan sebagainya bukan sahaja tidak sesuai di Timur malah bertentangan dengan budaya kita. Dengan mendukung tanggungjawab sosial, media massa haruslah menayangkan rancangan-rancangan yang dapat membentuk akhlak remaja yang unggul. Sebagai tamsilan, TV3 yang dipelopori dengan kartun Upin dan Ipin yang bertemakan keluarga mengajar kita menghormati orang. Rancangan-rancangan sedemikian harus lebih giat diadakan dan ditayangkan pada waktu perdana.
Akhirulkalam, bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa polemik keruntuhan akhlak menjadi duri dalam daging. Kemelut ini tidak boleh dipandang enteng tetapi perlu diperangi hingga ke akar umbinya. Kita harus sedar bahawa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ingatlah bahawa remaja memerlukan panduan dan bimbingan dalam meniti kehidupan mereka. Justeru, langkah-langkah yang ampuh lagi bersepadu perlu gancang diambil membendung masalah keruntuhan akhlak. Secara tidak langsung, insan yang utopia dan berbudi bahasa dapat dibentuk, persis kata mutiara sambil menyelam minum air. Remaja hendaklah disuntik dengan budi bahasa bagi mengelakkan mereka terjeremus dalam masalah sosial yang dapat merosakkan masa hadapan mereka, bangsa dan negara. Persis kata serangkap pantun;
Teguh rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa,
Teguh bangsa ialah budi,
Runtuh budi runtuhlah bangsa.
No comments:
Post a Comment
Adakah kualiti karanganpanas mantap? Perlukan contoh karangan? Nyatakan di sini!