Peperangan memberikan kesan kepada sesebuah negara dan rakyatnya. Bincangkan.
[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.
Peperangan menyebabkan nyawa melayang |
"Pemandangan orang berlumuran darah, dentuman bom serta das tembakan merupakan fenomena yang tidak asing lagi dalam kehidupan mereka"
Fenomena peperangan bukan sesuatu yang baru
malah peperangan telah diadakan sejak dahulu lagi. Peperangan lazimnya berlaku
antara negara untuk mengekalkan kedaulatan negara tersebut dan mengelakkan
dijajah oleh negara superior. Walakin, peperangan memberi seribu satu
keburukan, sederap dengan peribahasa, gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati
di tengah. Justeru, peperangan hendaklah dielakkan dengan mencari jalan keluar
yang lebih lembut seperti rundingan secara alternatif. Misalnya, penubuhan
Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), merupakan gagasan harmoni untuk
menyelesaikan pertikaian. Namun demikian, apakah kesan-kesan peperangan terhadap
sebuah negara dan rakyatnya? Tepuk dada, tanya selera!
Sebagai mukadimah perbincangan, peperangan
mengakibatkan kehilangan nyawa. Ramai penjurit-penjurit negara seperti askar
dan sebagainya terkorban demi mempertahankan maruah negara. Rakyat yang turut
berjuang bermati-matian sehingga ke titisan darah terakhir, turut hilang nyawa
mereka kepada tanah air tercinta. Selain itu, kekangan kekurangan ubat-ubatan
serta perkhidmatan perubatan merumitkan keadaan. Penggunaan senjata serta bom dapat
mencederakan rakyat, dan jika tiada ubat untuk merawatinya, nescaya kadar
kematian rakyat akan meningkat. Sementara itu, krisis sedemikian menyebabkan penyakit
seperti taun mudah merebak. Hari ini menyebabkan kehidupan rakyat ibarat sudah
jatuh ditimpa tangga. Tegasnya, peperangan menyebabkan rakyat menderita apabila
kesihatan mereka terjejas.
Sebagai lontaran idea kedua, peperangan
menyebabkan keruntuhan organisasi sosial. Harta benda serta pengangkutan awam musnah,
jalan raya tidak selamat dan sebagainya menghancurkan peranan kuasa pusat. Tanggungjawab
kerajaan sebagai penawar mujarab tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna,
lantas pembangunan negara terbantut. Ekonomi negara juga menurun kerana para
pelabur akan berasa tidak selamat melabur di negara kita serta bilangan
pelancong akan menurun. Pengisytiharaan darurat oleh sesebuah negara pula akan
menggelapkan masa depan negara tersebut kerana kerajaan terpaksa membelanjakan
beribu-ribu ringgit untuk membaik pulih keadaan. Infrastruktur seperti jaringan
pengangkutan dan perhubungan, kemudahan pendidikan, dasar governan dan
sebagainya perlu dibina semula ekoran pengeboman oleh musuh. Intihanya,
peperangan melemahkan sesebuah negara dan kemajuan negara akan lenyap lalu
negara tersebut menjadi mundur.
Meninjau dari dimensi yang berlainan, rakyat
sebuah negara yang aktif dengan peperangan berdepan dengan pelbagai trauma. Misalnya,
pemandangan orang berlumuran darah, dentuman bom serta das tembakan merupakan
fenomena yang tidak asing lagi dalam kehidupan mereka. Keselamatan iaitu sebuah
hak individu tidak lagi wujud malah sebaliknya diganti dengan huru-hara di
negara. Rakyat sukar mencari nafkah, lantaran takut dibunuh apabila keluar.
Apatah daya seseorang ketua keluarga menyara anak-anaknya? Kehidupan seharian mereka nescaya seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hal ini menyebabkan
fikirkan mereka melayang, kecelaruan emosi dan sebagainya mudah berlaku. Rakyat
juga sentiasa menjadi buruan pengganas akan berasa tertekan dan mengambil jalan
drastik iaitu membunuh diri. Ringkasnya, peperangan merupakan satu trauma yang
terngiang-ngiang di minda rakyat.
Jika ditelusuri secara mendalam, peperangan
memberi impak yang signifikan terhadap alam sekitar. Hutan simpan, kekayaan
biodiversiti dan sebagainya musnah dalam sekelip mata apabila dibom. Pengganas sudah
tentu meletupkan bangunan seperti tragedi 11 September 2001, iaitu pengganas
merampas beberapa pesawat lalu menghentam Pusat Perdagangan Sedunia di Amerika
Syarikat. Hal ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa, malah jerebu dan
kemusnahan alam sekitar berleluasa. Pengguguran bom atom di Hiroshima dan
Nagasaki oleh pihak British pula mengancam flora dan fauna di situ. Kesannya,
perubahan landskap, tanah menjadi gondol dan sisa radioaktif mengancam kehidupan. Tidak kurang juga hidupan
akuatik yang berdepan dengan sisa toksik. Kita harus sedar dengan kata-kata
Mahatma Gandhi iaitu “alam ini bukan diwarisi dari nenek moyang kita, tetapi
dipinjam dari generasi seterusnya”.
Akhirulkalam, bulan yang terang, bayang kian
jelas dan sudah terang lagi bersuluh bahawa peperangan memberi seribu satu kebobrokkan
kepada negara dan rakyatnya. Justeru, semua pihak harus bersatu tenaga,
berganding bahu dan gancang menggarap formula bagi mengelakkan krisis
peperangan daripada berlaku. Kita sebagai manusia alaf 21 harus menggunakan
otak kita untuk menyelesaikan masalah dan bukan secara kekerasan untuk
mengelakkan peperangan. Bertitik tolak daripada itu, usaha secara bersama amat
penting bagi melunaskan visi kudsi ini, bak kata serangkap pantun;
Pergi ke pasar membeli kerang,
Kerang dibeli di kedai Andah;
Bersama kita mengelakkan perang,
Bersatu teguh bercerai roboh.