Monday, 10 June 2019

Langkah-Langkah Mengatasi KEMALANGAN JALAN RAYA (Part 2)






[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.


Dari kaca mata lain, kes kemalangan jalan raya ini dapat ditangani dengan adanya usaha daripada pihak media massa. Media massa yang merangkumi surat khabar, televisyen, akhbar dan radio banyak mempengaruhi minda manusia pada era ini, berbanding dengan nasihat manusia. Justeru, media massa memainkan peranan yang signifikan dalam menyebarkan isu-isu kemalangan jalan raya kepada rakyat Malaysia. Berita terkini mengenai kemalangan jalan raya, haruslah diselitkan dalam surat khabar. Oleh itu, rakyat yang membaca berita tersebut turut dapat berasa kepahitan apabila ditimpa kemalangan. Maka, rakyat tidak akan bersikap sudah terhantuk baru terngadah, malah cuba mencari jalan penyelesaian untuk meminumkan isu ini, mujurlah di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Pihak radio, pula haruslah kerap menyalurkan iklan-iklan mengenai isu kemalangan ini. Pada musim perayaan terutamanya, pihak radio haruslah kerap mengingati para pendengarnya supaya mematuhi adat-adat di jalan raya supaya dapat mengurangkan kes-kes yang meragut berpuluh-puluh nyawa setiap hari. Izharnya, pemandu kenderaan tidak akan cuai semasa di jalan raya. Topik-topik mengenai faktor-faktor yang menyumbang kepada kemalangan dan cara-cara untuk membendungnya hendaklah kerap dibincangkan. Dengan ini rakyat dapatlah mempelajari tentangnya, dan seterusnya mempraktikannya dalam kehidupan seharian. Tuntasnya, pihak media massa harus menyebarkan info-info tentang isu kemalangan ini, supaya rakyat dapat keluar dari kemelut sosial yang menghantui benak fikiran kita. 



Sejajar dengan itu, didikan kepada anak-anak harus diberikan sejak kecil lagi. Ibu bapa yang berperanan sebagai uswah hasanah keluarga haruslah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa yang memandu secara tidak berhemah, nescaya akan dituruti oleh anak-anak. Justeru, memang tidak dapat disangkal bahawa ibu bapalah yang melakarkan personaliti, mencorakkan budi pekerti, dan mewarnai kehidupan anak-anak sehingga melahirkan bambar yang begitu indah. Maka, janganlah kita biarkan anak-anak kita untuk bercermin di air keruh. Di samping itu, didikan melalui pihak sekolah, harus dilakukan. Pelajar-pelajar harus diajar tentang adat-adat di jalan raya sejak bangku sekolah memandangkan, pucuk-pucuk yang hijau muda dilenturkan. Program seperti “Pandu Cermat, Jiwa Selamat” harus diadakan. Pendidikan tentang amalan berhemah di jalan raya, harus diselitkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Dengan ini, para pelajar dapat belajar tentang adat di jalan raya, contohnya undang-undang jalan raya, fungsi papan tanda di jalan raya, cara penggunaan lampu isyarat dan sebagainya. Impaknya, apabila para pelajar yang belum keras ubun-ubunnya mempelajari pendidikan sebegini, generasi baru, yang cermat dan disiplin dapat dilahirkan. Mujurlah, benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora, dan tercampak ke bumi menjadi penawar. Bulan semakin terang, bayang semakin jelas, institusi keluarga dan sekolah, kedua-duanya harus mengorak langkah-langkah yang afdal, dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, agar impian untuk menangani isu kemalangan jalan raya, tidak menjadi sekadar angan-angan Mat Jenin. 

Sebagai penggulung segala yang dibincangkan, kemalangan jalan raya merupakan polemik semasa yang tiada kesudahan. Jika kita berhasrat untuk menangani kemalangan jalan raya yang semakin hari, semakin serius ini, langkah-langkah yang proaktif dan konkrit haruslah dilaksanakan kerana yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek. Ingat, mencegah lebih baik daripada mengubati. Kemalangan jalan raya mampu dielakkan sekiranya semua pihak bergerak sederap seia sekata kerana tepuk sebelah tangan pasti tidak berbunyi. Kadar kemalangan yang sedikit mampu menaikkan martabat dan imej negara di pentas global agar negara kita disegani dan dipandang tinggi serta dilabel sebagai negara yang mengamalkan undang-undang yang berkesan. Oleh hal yang demikian, cegah sebelum parah, ingatlah orang yang tersayang, dan pandulah berhati-hati di jalan raya.

No comments:

Post a Comment

Adakah kualiti karanganpanas mantap? Perlukan contoh karangan? Nyatakan di sini!