Industri pelancongan menjanakan pendapatan yang lumayan kepada negara kita. Jelaskan keistimewaan yang terdapat di negara kita sehingga pelancong asing berminat untuk berkunjung ke Malaysia.
[Feb 2020 Update] Note: Bhoshaga (SPM 2016 10A+) is offering BM tuitions for SPM 2020 students who are in Form 4 / Form 5 only. Click here to learn more and to sign up. Only 6 spots left. Ends March 2020.
Malaysia berupaya menarik pelancong dari serata dunia |
"Amalan bertegur sapa, menghormati dan menguntum senyuman manis menarik pelancong berkunjung ke negara kita."
“Jauh perjalanan, luas pemandangan”, itulah frasa yang sering berlegar-legar di gawang minda pelancong apabila acap kali merantau seantero dunia. Marcapada, nusa tercinta kita semakin rancak menari mengikut gendangan arus modenisasi sehingga berjaya menjadi hab pelancongan terkenal di dunia. Keupayaan Malaysia bersaing dengan negara-negara gergasi dunia sebagai destinasi idaman pelancong meletakkan Malaysia setanding dan setaraf dengan mereka, persis duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Malaysia berjaya mempromosikan keistimewaannya sehingga menambat hati pelancong untuk makan angin di pusat peranginan terkenal negara. Perkembangan sektor pelancongan bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini memberikan kesan yang signifikan dalam meningkatkan ekonomi negara. Tidak dinafikan pengaliran mata wang asing ke negara kita juga meningkatkan nilai mata wang tempatan selain menggalakkan persaingan sihat antara pemaju-pemaju syarikat perhotelan. Nukleus utama kejayaan pelancongan Malaysia adalah disebabkan oleh keistimewaan kita. Persoalannya, apakah keistimewaan tanah air sehingga pelancong berminat berkunjung? Tepuk dada, tanyalah selera!
Sebagai mukadimah perbincangan, Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, khususnya kaum Melayu, Cina dan India. Setiap kaum ini mempunyai budaya, agama dan bahasa yang berbeza. Misalnya, kaum Melayu menyambut Hari Raya Aidilfitri manakala kaum Cina menyambut Tahun Baru Cina. Perayaan Deepavali pula disambut pada akhir tahun oleh kaum India. Perbezaan perayaan-perayaan tersebut dapat dilihat pada hiasan pusat beli-belah dan media sosial. Keunikan makanan tradisional seperti roti canai, nasi lemak, tapai dan sebagainya menjadi sebahagian daripada sajian umum. Kepelbagaian makanan yang menawarkan rasa enak ini menarik pelancong mencuba perisa-perisa Timur. Makanan dan budaya unik tersebut tidak terdapat di mana-mana tempat di dunia kecuali di Malaysia, dan perkara inilah yang menambat hati pelancong untuk melancong ke negara kita. Pelancong dapat melihat dengan mata mereka sendiri norma hidup masyarakat dan merasakan budaya tempatan bersama rakyat Malaysia. Tegasnya, variasi kaum dan budaya kita menjadi satu tarikan pelancong untuk melangkah kaki ke negara Malaysia.
Sebagai lontaran idea kedua, Malaysia terkenal dengan rakyatnya yang berbudi bahasa. Budaya timur yang bersulamkan nilai-nilai murni dan bersopan-santun mencerminkan identiti kita. Amalan bertegur sapa, menghormati dan menguntum senyuman manis menarik pelancong berkunjung ke negara kita. Salah satu fenomena menakjubkan ialah kehidupan masyarakat berbilang bangsa yang harmoni. Hal ini disebabkan oleh sikap bertoleransi dan menghormati antara satu sama lain yang menjadi kebiasaan masyarakat, persis alah bisa tegal biasa. Perpaduan ini dapat dikecapi dengan menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang menguar-uarkan gagasan 1 Malaysia. Pengunjung berasa kagum akan perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia, bak kata peribahasa, seciap bak ayam, sedencing bak besi. Izharnya, sikap berbudi bahasa rakyat merupakan keistimewaan Malaysia yang menarik pelancong.
Jika ditelusuri dari perspektif yang berbeza, kedudukan Malaysia yang strategik di Garisan Khatulistiwa menawarkan iklim panas dan lembab sepanjang tahun. Cuaca sedemikian menjadi faktor tarikan pengunjung terutamanya dari negara yang beriklim sejuk seperti Eropah. Selain itu, kita memiliki khazanah negara yang tidak ternilai seperti hutan hujan tropika serta kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna. Hutan hujan tropika yang berusia lebih 400 ribu tahun telah diwartakan sebuah hutan simpan dan menjadi habitat pelbagai haiwan dan spesies pokok. Taman Negara pula memiliki spesies tumbuh-tumbuhan yang tidak terdapat di mana-mana. Di samping itu, terdapat banyak pusat peranginan seperti Tanah Tinggi Cameron, Pulau Redang, Pulau Langkawi dan sebagainya. Kawasan bergunung-ganang seperti Banjaran Titiwangsa dan Gunung Kinabalu menawarkan aktiviti pendakian gunung. Pelancong juga boleh mengalami pantai semulajadi yang bersih seperti Port Dickson, Pantai Cahaya Bulan dan sebagainya. Sudah terang lagi bersuluh bahawa keunikan spesies flora dan fauna serta iklim menjadi faktor tarikan pelancong penting.
Jika kita melihat dari perspektif yang berbeza, peranan kerajaan mengimplementasikan pelbagai dasar menggalakkan perkembangan industri pelancongan merupakan keistimewaan Malaysia. Malaysia mempunyai jaringan pengangkutan dan perhubungan yang mampu memudahkan mobiliti pelancong. Misalnya, Lebuhraya Utara Selatan meningkatkan darjah ketersampaian dari satu bandar ke bandar yang lain secara signifikan. Sistem kereta api pula menjadi nadi perkhidmatan awam kerana berupaya menghantar pelancong ke destinasi pilihan mereka tanpa melalui kesesakan jalan raya. Selain itu, sistem politik yang stabil di negara kita mewujudkan suasana yang harmoni dan selamat. Pelancong dapat bergerak secara bebas tanpa perlu risau akan kacau-bilau dalam negara. Kemudahan pasar raya, pusat beli-belah dan industri perhotelan yang bertaraf antarabangsa dan disyorkan lima bintang menjadi tempat pelancong berkerumun. Intihanya, dasar kerajaan yang menggalakkan pembangunan negara merupakan faktor tarikan pelancong.
Akhirulkalam, bulan kian terang, bayang kian jelas bahawa terdapat banyak keistimewaan di Malaysia yang dapat menarik pelancong. Sesungguhnya, sektor pelancongan mampu memberi pulangan yang lumayan dan harus dikembangkan untuk meningkatkan daya bersaing. Semua pihak harus bersinergi dan berusaha bagai air mencari jenisnya dalam meluaskan horizon pemikiran mereka. Kesimpulannya, sektor pelancongan bergantung pada faktor tarikan. Bertitik tolak daripada itu, faktor tarikan harus diperbanyakkan lagi untuk menarik lebih banyak pengunjung.